Berita UtamaPendapatUtama

LTTE: Jangan ganggu kerja polis

Tindakan pre-emptif sangat penting diambil untuk tangani keganasan

1. BARU-BARU ini diumumkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) tangkapan beberapa orang individu bagi siasatan berkaitan dengan keterlibatan mereka di dalam gerakan LTTE, sebuah gerakan yang sudah diisytiharkan sebagai gerakan pengganas oleh Kerajaan Malaysia. Setelah pengumuman secara jelas dibuat pelbagai pihak telah memberi reaksi mereka samada secara positif ataupun negatif. Tidak kurang juga ada yang secara terang-terangan membidas PDRM dalam tindakan mereka itu.

2. Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berpandangan PDRM sedang melaksanakan tanggungjawab mereka yang diberikan oleh undang-undang. Kuasa yang diberikan kepada PDRM itu tidak pun disalah guna. Oleh yang demikian semua pihak perlulah bersabar sehingga PDRM menyempurnakan siasatan mereka.

3. PPMM sangat terkejut dengan tindakan beberapa ahli legislatif dan eksekutif yang mendesak PDRM secara telus mendedahkan siasatan mereka. Hal ini sangatlah tidak wajar kerana siasatan PDRM adalah bersifat sulit dan jika ia didedahkan kepada orang ramai ia akan memberi implikasi perundangan yang lain pula. Begitu juga beberapa NGO dan badan yang lain mempertikaikan tindakan PDRM ini.

4. PPMM percaya siasatan yang perlu dilakukan oleh PDRM adalah bersifat komprehensif kerana ia mungkin akan melibatkan pihak luar, transaksi melangkaui sempadan, jumlah orang yang terlibat dan kedudukan mereka. Oleh yang demikian desakan mempercepatkan siasatan hanya akan menyebabkan siasatan itu sendiri menjadi tidak lengkap. Begitu juga ada pihak yang cuba bercakap bagi pihak PDRM menyatakan tiada lagi tangkapan tertentu akan dibuat. Semua ini hanya akan menganggu proses siasatan yang sedang dijalankan PDRM.

5. PPMM percaya hak sewajarnya akan diberikan kepada mereka jika mereka dituduh kelak, dan jika mereka tidak dituduh mereka akan dilepaskan setelah siasatan disempurnakan. Tugas menyiasat adalah tanggungjawab PDRM, pendakwaan pula digalas oleh Pendakwaraya manakala peguam boleh membela mana-mana tertuduh.

6. Kesemua yang ditahan dan disiasat itu mempunyai hak mereka di sisi undang-undang termasuklah mereka yang mungkin akan ditangkap lagi jika ada. Oleh itu mereka boleh menggunakan hak mereka sewajarnya selepas siasatan disempurnakan.

7. PPMM juga mengingatkan pihak legislatif agar tahu peranan mereka dan tidak mencampuri urusan siasatan polis. Mereka hendaklah membiarkan pihak polis menjalankan tanggungjawab mereka sewajarnya dan membenarkan proses undang-undang dilakukan. Malah orang yang ditangkap itu tidak kiralah samada mereka ahli politik pihak kerajaan atau pembangkang ataupun mereka yang tidak berkecimpung di dalam dunia politik mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang sekiranya kezaliman atau tindakan di luar batasan undang-undang dilakukan oleh PDRM.

8. Di dalam menangani keganasan, tindakan pre-emptif sangat penting diambil segera oleh pihak berwajib. Ini adalah disebabkan kelengahan mengambil sebarang tindakan yang cepat mungkin akan mengakibatkan kehilangan jiwa yang ramai.

9. PPMM mengucapkan syabas kepada PDRM kerana mengambil tindakan mengikut undang-undang tanpa mengira kecenderungan politik samada blok kerajaan ataupun pembangkang, semuanya tidak terlepas dari siasatan polis sekiranya ada syak yang munasabah perlakuan jenayah dilakukan.

10. Oleh yang demikian, PPMM sekali lagi meminta semua pihak supaya bertenang dan membenarkan PDRM menjalankan tugasan mereka dengan sempurna. Semua pihak khususnya legislative dan eksekutif hendaklah menghormati proses undang-undang ini. PPMM juga mahukan Peguam Negara membuat keputusan sewajarnya berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa samada mahu mendakwa mereka atau tidak setelah kertas siasatan dihantar kepada mereka.

Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close