Berita UtamaUtama

Lebih 20 juta rokok seludup bernilai RM16.6 juta dirampas

Barang dagangan diikrar 'Printed Circuit Board' kaburi pihak berkuasa

SEPANG, 16 Safar 1441H, Selasa – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan menyeludup rokok rentas sempadan dalam satu serbuan di Northport, Pelabuhan Klang pada Jumaat lepas (11 Oktober), membabitkan rampasan rokok jenama John bernilai RM16.6 juta.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata, rampasan itu dilakukan terhadap dua kontena yang ditahan di pelabuhan itu, yang melalui pemeriksaan menemui rokok jenama John yang disyaki barang larangan berjumlah 20.6 juta batang bernilai RM2.06 juta dan cukai sebanyak RM14 juta.

Bagi mengaburi pihak berkuasa, katanya, dagangan di dalam kontena itu telah diikrarkan sebagai ‘Printed Circuit Board’, namun pemeriksaan lanjut mendapati ia berbeza daripada kandungan fizikal dagangan yang ditemui.

“Modul operandi sindiket adalah dengan membuat pengikraran Borang Kastam 1 (Import) yang tidak benar dari segi butiran dagangan dan dihantar untuk pelepasan Kastam sebelum kontena tersebut tiba di pelabuhan,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Dengkil, di sini hari ini.

Paddy berkata, penahanan dua kontena yang dipercayai datang dari Hong Kong itu turut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berumur 40-an, yang disyaki menguruskan pengikraran atau pelepasan barang dagangan itu.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967, kerana cubaan mengelak duti Kastam dan larangan import dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976 kerana memiliki barang tidak berkastam, katanya.

Bagi kesalahan pertama, pihak terbabit boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar, dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 atau dipenjara lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Paddy berkata, rampasan terbaharu itu menjadikan jumlah rampasan terkumpul membabitkan rokok seludup adalah sebanyak RM32 juta sejak Januari hingga kini. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close