Berita UtamaUtama

Hakim wajib isytihar harta

Elak hakim berada dalam konflik kepentingan pengaruhi kes

KUALA LUMPUR, 16 Safar 1441H, Selasa – Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat mengingatkan para hakim supaya membuat pengisytiharan harta dan jika gagal boleh dikenakan tindakan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Beliau berkata, Kod Etika Hakim 2009 mewajibkan para hakim untuk membuat pengisytiharan harta secara bertulis kepada Ketua Hakim Negara ketika dilantik menjadi hakim.

“Apabila terdapat arahan untuk berbuat demikian dari semasa ke semasa, kewajiban membuat pengisytiharan harta ini ditekankan melalui Pekeliling Ketua Hakim Negara Bilangan 1 Tahun 2012,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Integriti, yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Tengku Maimun berkata, bagi hakim mahkamah atasan, Kod Etika Hakim 2009 digubal bertujuan menetapkan standard asas untuk mengawal tatakelakukan semua hakim yang mana ia menjadi bimbingan kepada mereka.

Beliau berkata, bagi pegawai kehakiman pula pengisytiharan pemilikan harta adalah diwajibkan melalui Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1999 pula, pegawai kehakiman selain mereka yang memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan dikehendaki membuat pengisytiharan harta mereka sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Tengku Maimun berkata, bagi pegawai kehakiman yang memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan pula, mereka dikehendaki membuat pengisytiharaan harta ketika mula memegang jawatan itu dan selepas itu diikuti setiap tiga tahun sekali sepanjang tempoh beliau memegang jawatan berkenaan.

Katanya, tindakan tatatertib boleh diambil di bawah Peraturan 10 terhadap mana-mana pegawai kehakiman yang gagal membuat pengisytiharan harta.

“Di bawah peraturan sama, seseorang pegawai diwajibkan untuk memberi penjelasan bertulis kepada Ketua Jabatan sekiranya beliau didapati menyenggara suatu taraf kehidupan yang melebihi emolumennya atau memiliki harta yang nilainya tidak seimbang dengan emolumennya,” katanya.

Ketua Hakim Negara berkata, tujuan pengisytiharan pemilikan harta dibuat antaranya untuk meningkatkan ketulusan dan keyakinan masyarakat terhadap Badan Kehakiman bahawa hakim dan pegawai kehakiman tidak mempunyai apa-apa maklumat kepentingan peribadi yang terselindung.

“Selain itu, ia bagi mengelak para hakim dan pegawai kehakiman daripada berada dalam apa-apa bentuk konflik kepentingan yang akan mempengaruhi urusan atau perjalanan kes yang sedang dibicarakan di hadapan mereka.

“Ia juga mewujudkan kesedaran di kalangan para hakim dan pegawai kehakiman bahawa sumber dan aliran pemilikan serta pelupusan harta mereka diawasi dengan rapi dan terperinci dan melindungi hakim dan pegawai kehakiman daripada apa-apa bentuk tuduhan liar yang tidak berasas,” katanya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close