Berita UtamaUtama

Gesa universiti tarik balik ijazah mahasiswa biadab

Tindakan Wong Yan Ke memalukan, patut dikenakan tindakan tegas

BANGI, 16 Safar 1441H, Selasa – Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya (UM) melancarkan satu petisyen khas menuntut universiti menarik balik sijil Ijazah Sarjana Muda milik Wong Yan Ke atas tindakan biadab graduan itu ketika majlis konvokesyen baru-baru ini.

Jurucakap Penggerak Mahasiswa (UM) berkata, tindakan Yan Ke melaungkan ‘ini tanah Malaysia’ sambil mengangkat plakad yang tertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik sahaja menerima ijazahnya adalah suatu tindakan yang sangat biadab dan memalukan universiti.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Wong Yan Ke yang memalukan dan telah memburukkan nama universiti. Kami juga dengan tegas menuntut tindakan dikenakan kepadanya.

“Perkara seperti ini tidak patut berlaku sekiranya kita ingin mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian perbagai kaum, latar belakang dan ideologi terutamanya di dalam kampus tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Penggerak Mahasiswa UM turut menuntut permohonan maaf secara terbuka oleh Yan Ke atas tindakan biadabnya itu.

“Tidak menjadi masalah untuk kita berbeza pendapat dan pandangan dalam sesuatu isu, tetapi adakah dengan perbezaan dan kebebasan yang diberi itu membenarkan kita untuk melakukan sesuatu secara sesuka hati?

“Mahasiswa juga memainkan peranan dalam menjadi pencetus revolusi masyarakat namun mahasiswa juga perlu bertindak seperti seorang yang berpendidikan dan mampu menghormati prinsip ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ selaras dengan gelaran ‘mahasiswa’ yang dipegang,” kata jurucakap Penggerak Mahasiswa UM.

Setakat jam 12.00 tengah hari tadi, petisyen yang dilancarkan semalam berjaya mengumpul seramai 40,048 tandatangan. Orang ramai yang mahu memberikan sokongan terhadap petisyen tersebut boleh menandatanganinya di pautan www.change.org.

Terdahulu, Wong Yan Ke melakukan protes dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universitinya sejurus selepas menerima skrol ijazah.

Difahamkan dia berbuat demikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close