Berita UtamaUtama

Ambil tindakan! Penganjur Debat Piala Tun Razak tak jaga sensiviti

'Sudah jadi corak robek sensitiviti agama Islam, kemudian minta maaf'

BANGI, 16 Safar 1441H, Selasa – Kementerian Pendidikan perlu mengambil tindakan segera terhadap penganjur Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 apabila tidak menjaga sensitiviti beragama di Malaysia, kata Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, tajuk debat yang diberikan penganjur untuk pertandingan berkenaan – Islam tidak menghalang homoseksual dan penulisan semula Al Quran – boleh menjejaskan akidah apabila suatu pihak terpaksa menyokong atau menentang tajuk itu, katanya.

Difahamkan, SMA Persekutuan Kajang (SMAPK) telah dipilih sebagai pihak yang menyokong bahawa Islam tidak menghalang homoseksual.

Bagaimanapun, pasukan debat SMAPK berpendirian tegas dan bertindak menarik diri dalam pertandingan debat, yang diadakan di Seremban pada 11 hingga 13 Oktober lalu.

Zainul Rijal berkata, tindakan penganjur bukan perkara yang boleh dibuat main-main, difikir secara secara hipotetikal ataupun sengaja berbahas semata mencari kemenangan walaupun ia batil.

“Tindakan perlu diambil walaupun mereka telah memohon maaf, kerana tidak mahu ia menjadi corak merobek sensitiviti agama Islam dan kemudian minta maaf.

“Suatu tindakan berbentuk pengajaran perlu dilakukan dengan segera oleh Kementerian Pendidikan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau turut meminta supaya pihak berkuasa agama dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkaji sama ada wujud perlakuan jenayah syariah dan sivil.

Tinjauan Ismaweb mendapati tangkap layar grup WhatsApp bernama IbuBapa F5 SMAPK 2017 memaparkan perbualan berkaitan isu tajuk debat berkenaan.

“Semalam telah berlangsung Debat Piala Tun Razak. Debat ini menggunakan tajuk homoseksual (topik dua dan tiga). Tajuk debat ini mengatakan bahawa Islam tidak menghalang homoseksual.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku dalam debat bagi pelajar sekolah. Dalam situasi ini seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang telah dipaksa menyokong tajuk tersebut. Seorang pelajar beragama Islam terpaksa mendukung tajuk menulis semula al-Quran. Apa logik di sini?” soalnya.

Menerusi tangkap layar itu juga, ia turut mendakwa perkara itu sebagai satu bentuk penindasan dalam kebebasan beragama.

Terdahulu, juri bagi pertandingan melalui satu kenyataan memohon maaf kepada pihak terbabit terhadap apa yang berlaku.

“Kami dan jawatankuasa Piala Tun Razak 2019 akan mengambil perkara ini sebagai pengajaran bagi memastikan pada pertandingan akan datang ia tidak berulang,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close