Berita Utama

Setahun sahaja, Tun M sedia galas tugas PM kali ke-3

Mahu berehat namun jika ada desakan sedia galas tugas

BANGI, 27 Safar 1444H, Sabtu – Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga sekiranya Gerakan Tanah Air (GTA) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Pengerusi Penaja GTA itu menegaskan, ia hanya akan diterima sekiranya tiada calon lain yang boleh diangkat.

Tegasnya, beliau juga tidak mahu memegang jawatan itu untuk jangka masa panjang dan berkemungkinan besar selama setahun sahaja.

“Saya lebih suka berehat, walaupun berehat saya akan main peranan memberi nasihat, itu boleh kita buat.

“Tetapi kalau desakan demi desakan datang, saya nak fikir tentang diri sendiri susah, jadi kalau desakan datang sampai tiada orang lain, saya terimalah.

“Tetapi tidak bolehlah sampai lima tahun, mungkin satu tahun sahaja. Saya tubuh Pejuang, saya tubuh gerakan ini untuk jadi Perdana Menteri kali ketiga itu bukan niat saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Hard Talk bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri ketika bersama Barisan Nasional (BN) dan terbaharu dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, Dr Mahathir sekali lagi mengingatkan kaum-kaum lain supaya tidak takut kepada GTA dan agenda perjuangannya.

Katanya, meskipun GTA memperjuangkan orang Melayu dan Islam namun ia berhasrat membina sebuah kerajaan yang terdiri daripada berbilang bangsa.

“Jadi kita bukanlah nak buat kerajaan Melayu sahaja tetapi kerajaan yang mencerminkan penduduk di Malaysia.

“Kita mesti jelas apa dia Gerakan Tanah Air ini, apakah dia menolak langsung bangsa bukan Melayu, tidak, kita akan dirikan kerajaan multiracial,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button