Berita UtamaUtama

Aman Palestin sasar RM15 juta bantu pelarian musim sejuk

Dana akan diagih kepada pelarian Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 16 Safar 1441H, Selasa – Aman Palestin Berhad menyasarkan RM15 juta melalui kempen 10 For Smile untuk diagihkan kepada pelarian Syria yang menghadapi musim sejuk bermula September hingga Mac tahun hadapan.

Pengarah Media dan Korporat Aman Palestin, Ustaz Anas Abdul Wahab berkata, 10 yang dimaksudkan ialah RM10, di mana seramai 1.5 juta rakyat Malaysia diminta untuk memberi sumbangan.

Katanya, Aman Palestin akan menyebarkan poster kempen berkenaan melalui kumpulan Whatsapp, Telegram, Twitter dan apa sahaja platform pada setiap hari Jumaat.

“Jumaat adalah hari istimewa untuk semua umat Islam. Bagi kita, RM 10 mungkin tidak memberi apa-apa makna, tapi bagi mereka (pelarian Syria), sekiranya mereka menerima sumbangan, InsyaAllah, ianya satu kegembiraan buat mereka.

“Maknanya, ia sedikit sebanyak membantu menyelamatkan nyawa mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Aman Palestin, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia, kita sebenarnya bertanggungjawab untuk membantu sesama umat Islam.

Mengakui pelarian Syria terlalu daif untuk meneruskan kehidupan, ia berikutan tiada produktiviti untuk menjana pendapatan serta menampung kehidupan mereka.

“Sinonim bagi musim sejuk ini adalah mereka sedang menunggu kematian. Maknanya, kematian sedang menjenguk mereka pada musim sejuk. Bantuan akan diberi dari segi makanan, baju sejuk, tilam, selimut dan sebagainya.

“Mereka bukan sahaja akan menghadapi musim sejuk, malah hujan lebat dan banjir juga mengakibatkan khemah-khemah mereka ranap dan tiada tempat mereka untuk berteduh,” katanya.

Mengulas lanjut, Anas berkata, RM15 juta yang berjaya dikumpulkan juga turut akan diagihkan kepada pelarian di empat negara Islam iaitu Syria, Lubnan, Jordan dan Palestin.

“Kami tidak menyasarkan Turki dalam kempen kali ini kerana kami akan agihkan bantuan dan dana di Syria. Para pelarian yang berada di Turki disokong sepenuhnya oleh kerajaan dan sempadannya juga dikawal ketat,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Anas berkata, misi sukarelawan yang diadakan setiap tahun biasanya akan membawa 15 peserta yang turut disertai oleh pengamal media.

Katanya, anggota sukarelawan yang dipilih akan bersama-sama merasai kesusahan para pelarian termasuk rasa kesusahan ketika musim sejuk dan tinggal di kem-kem pelarian.

Untuk menyertai Kempen 10 For Smile, orang ramai boleh melayari laman sesawang: https://www.billplz.com/10forsmiles.

Sebarang maklumat lanjut, hubungi pejabat cawangan Aman Palestin di seluruh negara atau layari laman sesawang: www.amanpalestin.net atau hubungi
talian 03-8926 7019.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close