Berita Utama

Tanah Rizab Melayu di Kedah, KL dan Perak menurun

PBT negeri perlu ganti kawasan dibatalkan dengan tanah lain sama jenis

KUALA LUMPUR, 7 Ramadan 1444H, Rabu – Keluasan kawasan pewartaan Tanah Rizab Melayu di seluruh Semenanjung meningkat sebanyak 0.67 peratus daripada 4,963,190.8 hektar pada 2021 kepada 4,996,406.42 hektar pada 2022.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, data keluasan itu direkod berdasarkan kepada kutipan data daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri di Semenanjung.

“Secara keseluruhannya setiap negeri di Semenanjung mencatatkan peningkatan keluasan pewartaan Tanah Rizab Melayu kecuali bagi negeri Kedah, Kuala Lumpur dan Perak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang bertanyakan jumlah keluasan asal Tanah Rizab Melayu mengikut negeri di Semenanjung, sama ada keluasannya terus berkurangan dan rancangan kerajaan untuk mengatasi perkara itu.

Nik Nazmi berkata, jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu bagi negeri Kedah antara 2021 dan 2022, menurun daripada 721,888.93 hektar kepada 716,537.28 hektar, Kuala Lumpur 1,003.56 hektar kepada 999.48 hektar, manakala Perak daripada 953,042.67 hektar kepada 953,040.87 hektar.

Bagi maklumat perincian mengenai pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu di negeri, katanya perkara itu direkodkan PBT negeri masing-masing selaras peruntukan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi tanah simpanan Melayu.

“PBT negeri hendaklah menggantikan keluasan kawasan yang telah dibatalkan dengan tanah-tanah lain yang sama jenis dan luasnya sebagai tanah simpanan Melayu,” kata Nik Nazmi.

Justeru, beliau berkata, tiada keperluan untuk kementerian berkenaan mewujudkan Kertas Putih berkaitan isu kawasan Tanah Rizab Melayu memandangkan keluasannya tidak berkurangan serta tiada kerugian.

“Soal tanah rizab Melayu ini terletak di bawah bidang kuasa negeri seperti disenaraikan dalam Butiran 2B Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan selaras dengan pembahagian bidang kuasa perundangan dalam Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan,” katanya menjawab soalan tambahan Ismail.

Ismail ingin tahu sama ada KATS bercadang membentangkan Kertas Putih berkaitan isu Tanah Rizab Melayu memandangkan berlaku kelewatan daripada aspek penggantian kawasan itu.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button