Berita UtamaUtama

Pendakwaan setuju beri salinan gambar, barang sita pada Najib

Tiada bantahan beri salinan gambar barang, kecuali wang tunai

KUALA LUMPUR, 15 Safar 1441H, Isnin – Pihak pendakwaan dalam kes pelucutan harta Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya, hari ini bersetuju untuk memberikan salinan gambar-gambar barang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama, kepada bekas perdana menteri itu.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof berkata, pendakwaan tidak mempunyai sebarang bantahan dalam memberi salinan gambar-gambar barang yang dirampas, kecuali wang tunai pelbagai mata wang asing.

Beliau berkata demikian ketika pendengaran kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dan peguam Azrul Zulkifli Stork bertindak bagi pihak isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka Nooryana Najwa Mohd Najib, memohon salinan gambar-gambar berkenaan, bagi dirujuk kepada anak guam masing-masing.

Mahkamah menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes.

Pada 18 Julai lepas, Najib, 66, memfailkan notis usul bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita SPRM, termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing.

Dalam notis usul itu, Najib memohon supaya responden (pendakwaan) membekalkan atau menzahirkan gambar berwarna, berserta deskripsi lengkap seperti label, lambang, kad hadiah, bungkusan dan kotak yang dijumpai bersama dengan harta alih yang disita pada 17 Mei tahun lepas.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak-kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas, telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah, 68, dan Nooryana, 31, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta-harta alih, yang disita itu.

Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama, serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya membabitkan wang tunai RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 dan Pound Sterling 320,500.

Pada 30 Mei lepas, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis, kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan, ke atas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 kereta yang dirampas daripada pasangan suami isteri itu, bersama tiga anak mereka dan 13 individu lain serta beberapa syarikat.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis berkenaan adalah bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit, untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian, bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close