Berita UtamaUtama

LTTE: PM puas hati tindakan polis

Jika tiada undang-undang lain boleh dipakai, guna SOSMA: Tun M

PETALING JAYA, 15 Safar 1441H, Isnin – Polis mempunyai alasan mereka dalam tindakan menahan individu-individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, beliau telah diberi taklimat oleh polis mengenai perkara itu dan berpuas hati dengan alasan diberikan polis dalam tindakan mereka itu.

“Saya dapat briefing daripada polis, mereka beri sebab-sebab mereka bertindak. Saya puas hati dengan sebab-sebab mereka ambil tindakan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan persidangan bertajuk ‘Revolusi Global dalam Perniagaan, Teknologi dan Produktiviti’ di sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas mengenai kenyataan-kenyataan polemik yang dikeluarkan sesetengah pihak berhubung isu penahanan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri kerana disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Semalam, polis menahan lima lagi individu termasuk seorang guru kerana disyaki terbabit dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak Khamis lepas kepada 12 orang.

Semua mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ditanya mengenai kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kurang bersetuju apabila penahanan berkaitan LTTE itu dibuat mengikut SOSMA, Dr Mahathir berkata: “Ya, Akta SOSMA masih wujud, jadi bila ketiadaan undang-undang lain yang boleh dipakai, mereka gunakan Akta SOSMA”.

Semalam Anwar dilapor sebagai berkata, beliau bersetuju dengan tindakan polis menahan beberapa individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE, namun berpendapat penahanan itu tidak seharusnya dibuat mengikut SOSMA yang disifatkannya sebagai ‘terlalu keras’. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close