Berita UtamaUtama

Larangan jual vape masih dikaji

Baik buruk sifat rokok dihitung walaupun vape jana hasil cukai

KUALA LUMPUR, 15 Safar 1441H, Isnin – Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa penguatkuasaan larangan penjualan rokok elektronik atau vape, yang menggunakan cecair tanpa nikotin masih dalam perbincangan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih lagi menjalankan kajian mendalam dan perbincangan termasuk akta baharu berkaitan vape, yang kini dalam semakan Jabatan Peguam Negara.

“Selain itu, pihak kami juga sedang meneliti kajian-kajian terkini, yang menunjukkan kesan sampingan terhadap penggunaan rokok elektronik dan vape, termasuk beberapa kematian yang dicatatkan di negara Amerika Syarikat.

“Justeru, satu kajian terperinci perlu dibuat, untuk mengkaji semula keperluan menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik dan vape, secara menyeluruh,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dzulkefly berkata demikian semasa menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS- Pengkalan Chepa) yang ingin tahu adakah Kementerian Kesihatan bercadang menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik dan ‘vape’ secara menyeluruh ataupun membendung jualan bahan berkenaan, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah memandangkan bahaya bahan itu daripada aspek kesihatan.

Dzulkefly berkata, satu akta baharu yang sedang dalam semakan Jabatan Peguam Negara akan memperuntukkan penggunaan semua jenis produk merokok seperti rokok konvensional dan rokok elektronik atau vape, bagi individu berumur di bawah 18 tahun adalah dilarang sama sekali.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, kajian rokok dan rokok elektronik dalam kalangan remaja Malaysia (TECMA) 2016 mendapati, seramai 300,000 pelajar bersekolah menggunakan rokok elektronik dan vape, dan daripada jumlah itu, 250,000 adalah remaja lelaki.

Menjawab soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH- Hulu Langat) mengenai pihak yang sanggup membayar cukai jika dikenakan ke atas penggunaan vape, Dzukefly menjelaskan kementerian lebih mementingkan kesihatan rakyat.

“Walaupun disebut industri vape boleh membantu menjana percukaian negara, tetapi kementerian menghitung baik buruk sifat rokok itu sendiri, terutama masalah kesihatan akibat nikotin yang lebih besar,” katanya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close