Berita UtamaDr Ahmad Sanusi AzmiPendapatUtama

Kekeliruan liberal mengenai anak perempuan Rasulullah ﷺ

Jika SIS ikut sunnah, kenapa tak perjuang kewajiban bertudung?

1. PENGURUS Komunikasi Sisters in Islam (SIS), dilihat berkongsi pandangan yang mengelirukan berkenaan anak perempuan Rasulullah ﷺ, Saidatina Fatimah al-Zahrah (RA). Beliau seakan-akan menyatakan bahawa Rasulullah tidak mengamalkan khatan terhadap anak perempuan iaitu, seolah-olah Saidatina Fatimah tidak disunatkan.

2. Kenyataan berhubung anak perempuan Rasulullah ﷺ ini mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh, yang datang dengan hadis yang sahih dan sarih. Sekiranya tidak, beliau hanya menimbulkan fitnah terhadap anak perempuan Rasulullah ﷺ.

3. Sekiranya diteliti, tiada hadis yang jelas berhubung status khatan anak-anak perempuan Rasulullah ﷺ. Hanya pandangan yang dikeluarkan oleh Dr. Ali Jumaah (atau Dr. Shauqi Allam) sahaja yang seakan menyatakan demikian. Pun begitu, sekiranya diteliti, tiada hadis yang sahih dan sarih berhubung perkara ini, bahkan sarjana Muslim cenderung atas pensyariatan khatan anak perempuan.

4. Pensyariatan khatan anak perempuan ini adalah berdasarkan hadis Ummu Atiyyah yang menyebutkan:

حديث أم عطية رضي الله عنها قالت: إن امرأة كانت تختن بالمدينة، فقال لها النبي صلى الله عليه وسلم: “لا تنهكى، فإن ذلك أحظى للزوج، وأسرى للوجه”

“Ummu Atiyyah berkata: Sesungguhnya para wanita (mengamalkan) khatan di Madinah, lalu Rasulullah ﷺ berpesan: Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.” (HR Abu Daud, dinilai Sahih oleh al-Albani)

5. Hadis yang hampir sama juga diriwayatkan oleh Ummu Habibah. Ummu Habibah terkenal dengan tugasannya sebagai bidan dalam perkara ini. Rasulullah ﷺ bertanya tentang perbuatannya menjalankan khatan perempuan. Lalu Ummu Habibah berkata:

إلا أن يكون حراماً فتنهانى عنه، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “بل هو حلال، فادني منى حتى أعلمك”

“Kata Ummu Habibah: Sekiranya (berkhatan wanita) adalah haram, maka Rasulullah ﷺ sudah pasti melarangku (dari melakukannya). Bahkan Rasulullah ﷺ berkata: Ia adalah sesuatu yang halal. Dan Rasulullah ﷺ memanggil Ummu Habibah lalu berkata: Mari dekat sini, aku ingin berpesan kepadamu tentangnya.” Lalu Rasulullah ﷺ mengajar Ummu Habibah perkara yang sama seperti yang dinyatakan oleh Ummu Atiyyah dalam hadis di atas (no 3). (HR al-Bayhaqi)

6. Dalam mazhab al-Syafie pula, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat yang masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie. Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafie bahawa hukumnya sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz (ganjil).
(Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab (1/300-301) oleh Imam al-Nawawi)

7. Malah, menurut Mufti Wilayah persekutuan, hukum khatan bayi perempuan ini adalah wajib. Beliau menyebutkan: “Kami mentarjihkan (mengutamakan/mengesahkan) pendapat bahawa wajib hukumnya berkhatan bagi lelaki dan perempuan.”

8. Andai sekiranya SIS benar-benar ingin menuruti sunnah Rasulullah ﷺ, mengapa tidak memperjuangkan kewajipan bertudung buat ahli mereka seperti yang dipertegaskan oleh Baginda Nabi ﷺ buat wanita Muslimah di Madinah.

9. Bahkan, sekiranya SIS ingin meniru Saidatina Fatimah, mengapa tidak ditiru sikap Fatimah yang menyempurnakan hijab beliau sehingga beliau tidak dikenali oleh sahabat Nabi ﷺ yang bersama dengan Baginda ﷺ.

10. Perkara ini diriwayatkan oleh Abdullah ibn Amru ibn al-As yang bersama dengan Rasulullah ﷺ. Ketika Ibn Amru sampai dipintu rumah Rasulullah, beliau terlihat seorang wanita yang tidak dapat dikenalpasti oleh sahabat, sehinggalah Rasulullah ﷺ memanggilnya dengan nama Fatimah (anaknya), barulah mereka tahu bahawa perempuan itu adalah Fatimah. (HR Ahmad dan al-Hakim, dan dinilai Sahih oleh al-Hakim).

Semoga Allah membimbing kita.

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close