Berita UtamaUtama

‘Guan Eng mula tunjuk kuasa’

PDRM bawah kerajaan PH pun diputarbelit dengan menteri kewangan

BANGI, 15 Safar 1441H, Isnin – Bekas perdana menteri – yang berdepan pertuduhan di mahkamah – Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir seterunya dari DAP, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya terhadap siasatan polis ke atas kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Terdahulu, Guan Eng memohon pihak polis agar menumpukan usaha melengkapkan siasatan berhubung penahanan dua wakil rakyatnya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA).

Menteri Kewangan itu berkata, tindakan berkenaan dirasakan lebih wajar daripada polis mengeluarkan kenyataan yang dirasakan memberi persepsi yang salah terhadap kenyataan beliau tempoh hari.

“Saya harap bahawa Ayob juga baca kenyataan saya. Jangan putar belitkan kenyataan seorang pemimpin negara. Dan di sini, saya nak tegaskan bahawa memang kita beri sokongan kepada pihak polis, dan kita harap polis boleh buat siasatan daripada buat komen-komen tidak relevan, khususnya kenyataan yang saya tidak buat,” kata Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata demikian susulan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menafikan kenyataan beliau bahawa polis memberi jaminan tiada pemimpin politik DAP yang akan ditahan lagi.

Semalam, Ayob Khan dilaporkan berkata, beliau tidak pasti dari mana Guan Eng mendapat penerangan bahawa tiada lagi pemimpin politik akan ditahan berhubung dengan aktiviti LTTE di negara ini.

“Tidak ada sebab kenapa kita perlu menghentikan siasatan kita. Adakah ini sebab parti DAP kita perlu hentikan siasatan? Tidak daripada saya,” katanya.

Melabelkan Guan Eng sebagai ‘menteri kewayangan’, Najib berkata, PDRM di bawah Kerajaan Pakatan Harapan turut diputarbelit dengan Guan Eng.

“Mula-mula, ramai pertikaikan kenapa Guan Eng boleh mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa polis telah jamin tidak ada lagi pemimpin DAP akan ditangkap setelah dua ADUN DAP ditahan untuk isu LTTE ini.

“Lepas itu, polis tangkap dua lagi pemimpin DAP. Semalam, polis jelaskan bahawa mereka tidak pernah jamin tidak akan tangkap lagi pemimpin DAP seperti dikatakan Guan Eng.

“Hari ini pula, Guan Eng putar-belit bahawa dia tak pernah minta polis untuk henti menyiasat pemimpin DAP. Maka, skill Menteri Kewayangan ‘level-up lagi,” kata Najib menulis di Facebook beliau hari ini.

Dalam kenyataan lain, Ahli Parlimen Pekan itu berpandangan bahawa Guan Eng sudah mula tunjuk kuasa apabila menggesa polis menumpukan usaha melengkapkan siasatan daripada mengeluarkan kenyataan yang dirasakan memberi persepsi yang salah terhadap kenyataan beliau sebelum ini.

“Guan Eng dah start tunjuk power. Polis dah kena sounding kerana kononnya putar-belit kenyataan ‘pemimpin negara’,” kata Najib.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close