Berita UtamaUtama

Gas hidrogen punca belon meletup Sabtu lalu: Polis

4 mangsa insiden masih dirawat di Hospital Putrajaya

PUTRAJAYA, 15 Safar 1441H, Isnin – Insiden belon meletup di Dataran Putrajaya pada Sabtu lepas disebabkan oleh gas hidrogen yang digunakan, kata Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan.

Beliau berkata, polis telah membuka kertas enkuiri, bagi mengetahui punca sebenar kejadian belon itu meletup, yang berlaku selepas program kecergasan Kementerian Pendidikan sempena Bulan Sukan Negara.

Laporan sebelum ini menyebut belon helium yang meletup. Insiden itu mengakibatkan 16 orang termasuk sembilan kanak-kanak melecur, dipercayai akibat cubaan memotong tali pengikat belon itu bagi melepaskannya, dengan menggunakan pemetik api.

“Hidrogen…bukan helium. Hidrogen sangat sensitif dengan alat atau bahan membakar,” kata Rosly di sini, hari ini, berhubung perkembangan insiden itu.

Polis turut menemui pemetik api di tempat kejadian.

Rosly berkata, suspek berkaitan insiden itu belum dikenal pasti.

Mengenai status terkini mangsa, Rosly berkata, setakat 10 pagi hari ini, empat mangsa iaitu dua lelaki dan dua perempuan dewasa, masih dirawat di Hospital Putrajaya.

Sebelum ini, enam mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, dirawat di wad Hospital Putrajaya, kerana mengalami kecederaan tahap dua. Sepuluh yang lain dibenarkan pulang pada hari Sabtu setelah diberi rawatan. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close