Berita UtamaUtama

Belum putuskan untuk benar ganja diguna dalam perubatan

Wanita patut ada kemahiran, pengetahuan dalam perangi najis dadah

SEREMBAN, 15 Safar 1441H, Isnin – Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan untuk membenarkan ganja digunakan bagi tujuan perubatan di negara ini, seperti mana yang telah dilakukan di negara lain, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, pada masa ini undang-undang sedia ada iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, masih terpakai dan menjelaskan bahawa tidak ada lagi kajian yang diterima Kementerian Kesihatan yang menunjukkan ganja boleh dijadikan kajian perubatan, setakat ini.

“Kalau ada kaedah di bidang perubatan, maka pihak-pihak tertentu perlu membawa kepada Kementerian Kesihatan sebagai satu kuasa (authority) dan Kementerian Kesihatan akan menentu dan melakukan apa-apa kajian sebelum hendak menerima sesuatu produk itu sebagai bahan perubatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Pemerkasaan Wanita Dalam Memerangi Dadah Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut dihadiri, Pengarah AADK negeri, Dr Nazira Sadiron.

Sementara itu, Aminuddin berkata, wanita turut berperanan dalam memerangi najis dadah memandangkan mereka merupakan orang yang paling hampir dengan anggota keluarga yang terjebak dadah.

“Oleh itu, wanita harus mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang sepatutnya supaya mereka mampu untuk menangani najis dadah ini.

Penagih wanita di Negeri Sembilan setakat September lepas adalah seramai 125 orang daripada 2,252 orang penagih iaitu sebanyak 4.8 peratus. Mengikut statistik AADK Negeri Sembilan, dadah jenis methamphetamine atau syabu adalah dadah yang sering digunakan oleh kebanyakan kes penagihan dalam kalangan wanita di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Dr Nazira dipilih untuk menerima Anugerah Inspirasi Wanita 2019 manakala Marziah Mohammad (Anugerah Wanita Hebat Kekal Pulih) serta Nur Ashikin A Mutalib dan Suhailyna Sulaiman (Anugerah Sokongan Tiada Penghujung Kepulihan-Kategori Keluarga OKP). – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close