Berita Utama

Caruman KWSP majikan 20 peratus mampu tingkat aliran kewangan negara

Kaedah ganti semula wang yang dikeluarkan ketika wabak COVID-19

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 12 Syawal 1444H, Rabu – Cadangan supaya kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada majikan dinaikkan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini mampu meningkatkan aliran kewangan negara jika dilihat dari sudut positif.

Pensyarah Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof Madya Abu Sofian Yaacob berkata, langkah berkenaan mampu mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada pekerja luar sekali gus menyebabkan aliran keluar kewangan negara juga berkurangan.

“Ini memberi peluang kepada pekerja tempatan untuk bekerja di tempat sendiri tanpa perlu menggunakan khidmat tenaga asing.

“… dari skop lebih luas, aliran kewangan negara juga akan bertambah dan berkitar dalam negara sahaja menyebabkan nilai mata asing juga meningkat,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kadar caruman KWSP bahagian majikan yang dinaikkan kepada 20 peratus.

Kata Anwar, cadangan berkenaan sudah dikemukakan, tetapi belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Prof Madya Abu Sofian menyifatkan cadangan itu – jika dilaksana – sebagai perkongsian rezeki daripada majikan kerana memberi simpanan yang lebih besar kepada pekerja.

“Bayangkan bagi pekerja yang muda dan masih boleh bekerja dalam tempoh 20 tahun lagi, mereka akan menerima simpanan yang besar apabila caruman dinaikkan kepada 20 peratus,” katanya.

Malah, penambahan caruman berkenaan juga dilihat sebagai menggantikan semula simpanan yang dikeluarkan ketika pandemik COVID-19, baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau melihat cadangan itu bukan muktamad yang perlu dipatuhi setiap majikan di negara ini.

Hal ini boleh dibincangkan mengikut kemampuan syarikat masing-masing terutama melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Sekiranya syarikat tidak mampu menaikkan caruman sehingga 20 peratus mungkin mengikut kesesuaian syarikat iaitu dinaikkan kepada 13 peratus atau lebih lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button