Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

33 maut, 19 hilang sejak taufan Hagibis badai Jepun

Kerajaan kerah 27,000 anggota penyelamat bantu penduduk terjejas

TOKYO, 15 Safar 1441H, Isnin – Jepun mengerahkan kira-kira 27,000 anggota keselamatan membabitkan tentera, polis dan bomba bagi membantu penduduk yang terperangkap akibat banjir, susulan taufan Hagibis yang membadai negara itu, baru-baru ini.

Taufan Hagibis membawa maksud kelajuan dalam bahasa Tagalog, disifatkan taufan paling dahsyat melanda Jepun dalam tempoh enam dekad.

Agensi berita Kyodo News semalam melaporkan, taufan berkenaan menjejaskan ibu negara Tokyo dan kawasan sekitar, di mana air sungai melimpah dan merosakkan hampir setengah juta unit perumahan.

Selain itu, agensi itu berkata, seramai 33 orang dilaporkan terkorban manakala 19 lain hilang. Malah, sekurang-kurangnya 150 penduduk dilaporkan cedera.

Pada masa sama, para penyelamat dengan menggunakan kapal dan helikopter, juga berusaha mengeluarkan mangsa terperangkap di dalam rumah yang tertimbus tanah.

Kemuncak taufan Hagibis mula membadai Pulau Honshu sekitar jam 7 malam pada Sabtu, dengan angin ribut sehingga 216 kilometer sejam (km/j), manakala gempa bumi berukuran 5.7 magnitud menggegarkan bandar Tokyo sejurus selepas itu.

Semalam, Hagibis turut membadai Pulau Hokkaido pada sebelah petang.

Selain itu, banjir turut melanda bandar Nagano, di mana air dari Sungai Chikuma telah melimpah ke kawasan kediaman.

Sementara itu, Perdana Menteri Shinzo Abe mengadakan mesyuarat tergempar bersama beberapa anggota Kabinet serta mengerahkan menteri yang bertanggungjawab untuk menguruskan bencana di kawasan paling terjejas.

Beliau mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dan berkata, kerajaan sedang berusaha menyelamatkan mangsa dan harta benda rakyat.

“Kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memulihkan keadaan secepat mungkin, ” katanya.

Katanya, taufan itu juga telah mengakibatkan 48 kes tanah runtuh di 12 wilayah. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close