Berita Utama

GTA tampil calon bersih, bebas salah laku

Medan terbaik rakyat pilih pemimpin baharu ke Parlimen

BANGI, 1 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Gerakan Tanah Air (GTA) akan menampilkan semua calon yang bebas salah laku dan dakwaan di mahkamah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bukan setakat itu, gerakan yang dianggotai empat parti komponen ini turut mengetengahkan pemain politik baharu tanah air yang bebas dari kehidupan kotor ‘politikus’ sedia ada.

Perkara itu tidak mustahil dilakukan kerana GTA merupakan wadah berwibawa yang berjaya mengumpulkan pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh individu (NGI) yang boleh membantu merejuvenasi politik negara dengan imej baharu.

Pengarah Pilihan Raya BERJASA, Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad yakin serta percaya, PRU15 ini medan terbaik bagi rakyat untuk memilih dan menghantar wakil berwajah baharu ke Parlimen Malaysia.

“Dengan imej baharu dan kewibawaan serta ketokohan calon-calon GTA ini, impian kita untuk menjadikan tanah air ini sebagai unggul dan bermaruah dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kehangatan PRU15 ini sebenarnya sudah bermula sebaik tamatnya PRU14 pada 2018 lagi.

Katanya, sejak tumbangnya parti yang memerintah lebih enam dekad, suasana politik negara boleh dikatakan banyak berubah.

“PRU15 kali ini boleh dikatakan sebagai ‘Peperangan Besar dan Penting’ atau ‘Father of all Elections’.

“Parti UMNO dan Barisan Nasional akan cuba sekali lagi bangkit berkuasa demi menyelamatkan masa depan politik saki baki pemimpin yang sedang didakwa kes korupsi di mahkamah.

“Manakala Pakatan Harapan yang dilihat sudah hilang taring akibat kegagalan 22 bulan pemerintah cuba sekali lagi meyakinkan pengundi,” katanya.

Menurutnya, berbeza pula dengan sebuah gerakan rakyat dinamakan sebagai GTA yang muncul di tengah-tengah kemelut politik tanah air.

“Didukungi bukan sahaja parti-parti politik yang baharu, tiada rekod politik kotor, tetapi gerakan ini juga memperlihatkan penyertaan banyak badan bukan kerajaan NGO dan tokoh-tokoh nasional yang selama ini bersuara demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air dari luar tembok politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button