Berita UtamaUtama

Tak pernah keluar arahan seperti dakwaan Guan Eng: Ayob Khan

Setiausaha Agung DAP dakwa polis takkan sasar lagi pemimpin DAP

BANGI, 14 Safar 1441H, Ahad – Polis menyangkal kenyataan Lim Guan Eng kononnya pihak berkuasa memberi jaminan tiada lagi pemimpin politik DAP yang ditahan selepas ini berkaitan kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan tidak ada sebab polis perlu menghentikan siasatan berhubung kes itu..

“Saya tidak pasti bagaimana input yang beliau (Guan Eng) dapat iaitu mengatakan polis tidak akan menjalankan siasatan dan tangkapan. Itu saya tidak pasti.

“Namun, yang pastinya bukan daripada saya. Saya tidak pernah mengeluarkan sebarang isu atau kenyataan yang mengatakan kita akan memberhentikan siasatan. Tidak. Mungkin ada pihak lain saya tidak pasti,” kata beliau pada sidang akhbar di Bukit Aman tadi.

Sebelum ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, pihak polis memaklumkan tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan atas dakwaan pembabitan mereka dengan LTTE.

“Saya juga dimaklumkan bahawa walaupun akan ada lebih ramai ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE, tiada lagi pemimpin atau wakil rakyat dari DAP akan disasarkan,” kata beliau.

Terdahulu, Ayob memaklumkan seorang guru di sebuah sekolah di Banting, Selangor, antara lima individu ditahan dipercayai terbabit dengan LTTE semalam. Individu lain termasuk anggota Majlis Bandar Raya Melaka; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka; pekerja kilang; dan penyelia keselamatan.

Beliau berkata, mereka ditahan dalam operasi selepas penahanan tujuh individu lain 10 Oktober lalu bermula 10 pagi hingga 5 petang.

“Tangkapan pertama di Teluk Panglima Garang, kita menahan guru lelaki sebuah sekolah menengah di Banting berusia 52 tahun kerana disyaki menyokong dan mempromosi LTTE menerusi media sosial selain memiliki dan menyimpan item berkaitan kumpulan itu,” katanya.

Selain itu katanya, Ahli Majlis PBT negeri dan CEO perbadanan anak syarikat kerajaan Melaka di Durian Tunggal, ditahan kerana terbabit menganjurkan Hari Perwira LTTE pada 28 November tahun lalu di negeri itu.

“Di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kita menahan dua lelaki iaitu pekerja kilang dan penyelia keselamatan kerana disyaki menyokong dan mempromosi LTTE menerusi media sosial,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close