Berita UtamaUtama

Tak perlu gugur jawatan ADUN dikait LTTE: KM Melaka

Kerajaan negeri sedia beri kerjasama sepenuhnya kepada polis

MELAKA, 14 Safar 1441H, Ahad – Kerajaan Negeri Melaka akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan tiga individu di negeri ini disyaki terbabit dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya mahu siasatan dijalankan dengan telus dan sekiranya mereka didapati bersalah tindakan mengikut undang-undang sedia ada perlu diambil.

“Kita sedia berikan kerjasama kepada pihak keselamatan dan kita berharap agar siasatan yang lengkap dapat dilaksanakan, sekiranya mereka terbabit mereka harus didakwa, namun jika mereka tidak bersalah, mereka harus dibebaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2019 sempena Sambutan Hari Jadi ke-81 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Adly diminta mengulas mengenai tiga daripada 12 individu iaitu seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan Khamis lalu, pegawai eksekutif sebuah perbadanan dan ahli majlis perbandaran masing-masing ditahan semalam, atas dakwaan terbabit dengan kumpulan LTTE.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiada keperluan bagi sebarang pengguguran jawatan ADUN yang juga Exco Melaka berhubung isu dakwaan pembabitan dalam LTTE.

Menurut Adly, buat masa ini, tugas exco itu akan diambil alih oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew manakala bagi jawatan pegawai eksekutif akan ditetapkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan.

Sementara itu, Adly berkata, pembaharuan peraturan bagi menghadiri atau membuat liputan di Balai Istiadat bagi Istiadat Penganugerahan tahun ini dilakukan bagi menambah baik perjalanan majlis serta memastikan sistem protokol terutama melibatkan majlis rasmi kerajaan negeri berjalan dengan lancar.

Beliau berkata, pemakluman berkaitan peraturan baharu itu juga telah dimaklumkan kepada semua pihak terbabit termasuk pihak media terutama berhubung etika pemakaian yang perlu dipatuhi ketika membuat liputan majlis tersebut.

“Di peringkat kerajaan negeri mahupun program yang dianjurkan, kita ada membuat pembaharuan peraturan. Bagi isu ini kita lihat ada sedikit rungutan dan kita akan lakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa. Namun, peraturan tetap akan ada terutama melibatkan majlis rasmi dan ia perlu dipatuhi bagi memudahkan urusan majlis,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melihat semula rungutan terutama masalah yang dihadapi pihak media untuk membuat liputan bagi majlis itu kerana jumlah pengamal media yang dibenarkan membuat liputan di dalam Balai Istiadat diminimumkan berikutan ruang yang ada adalah terhad.

Semalam, akhbar Bahasa Inggeris melaporkan terdapat sejumlah wartawan daripada akhbar Bahasa Cina dan ahli politik tidak dapat memasuki Balai Istiadat kerana tidak mengenakan pakaian lengkap yang ditetapkan termasuk bersongkok. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close