Berita PilihanBerita UtamaTarbiyyahUtama

Pelbagai cara dekati Gen-Y

Gen-Y perlu dilayan seperti dewasa, bukannya kanak-kanak

GENERASI Y atau Gen-Y adalah terminologi yang digunakan untuk merujuk kepada generasi yang lahir bermula 1980-an sehingga tahun 2000. Saya tidak pasti siapa dan mengapa definisi generasi sebegini dicipta. Yang pasti banyak konotasi negatif yang sering dikaitkan dengan gen-Y ini, seperti liar, angkuh, pelik, terbuka, berterus-terang, cepat bosan dan banyak lagi

Definisi ini seakan menghalalkan semua sikap kurang baik yang bercanggah dengan agama dan norma bangsa. Lebih teruk, ia menjadi satu stigma yang dicop tidak bersolusi.

“Nak buat camana, dah memang generasi mereka begitu!” sering menjadi menjadi alasan. Masyarakat pula mula mengubah pendekatan, melonggarkan beberapa kebiasaan serta menggadaikan beberapa prinsip asas atas nama ‘mendekati dan memahami gen-Y’.

Bukankah generasi ini yang sepatutnya menyesuaikan diri dan belajar memahami orang yang lebih tua daripada mereka? Saya percaya karakter dan definisi generasi ini terletak pada kebergantungan kepada gadget, serta ledakan teknologi maklumat dan bukannnya pada DNA. Ia boleh dan wajib dikawal untuk manfaat bersama

Antara tips yang boleh dikongsikan untuk mempengaruhi mereka ialah:

1. Ambil kira pandangan dan pembabitan fizikal: Jangan bermudah-mudah memberi arahan dan mengharapkan mereka terus taat dan patuh. Gen-Y biasa ingin didengari dan mempunyai keinginan tinggi untuk menyumbang termasuk dalam proses membuat keputusan dan polisi. Oleh itu, kerapkan penganjuran program-program santai bagi mendengar pandangan dan luahan hati mereka.

Ambil kira dan analisa secara serius cadangan dari mereka. Tunjukkan anda benar-benar ikhlas mahu mendapatkan input yang segar dan baru. Setelah mereka merasakan mereka sebahagian daripada keputusan atau polisi yang dibuat, barulah mereka akan mudah memenuhinya.

2. Beri kebebasan dan kurangkan kongkongan: Layan dan berinteraksi dengan mereka sebagai seorang dewasa, dan bukannya kanak-kanak kecil. Berikan kepercayaan, pemberdayaan (empowerment) serta kurangkan ikatan. Pandu dan bantu mereka dalam perancangan, pengurusan dan apa sahaja perkara secara makro.

Cadangkan dan pantau seadanya. Biar mereka yang melakukan kajian, analisa, mengumpul data, menilai situasi dan membuat keputusan. Menegur dan memberikan maklumbalas bukanlah konkongan jika anda berjaya melakukannya dengan penuh kebijaksanaan.

3. Pandu dan latih disiplin kerja, pengurusan kewangan dan kemahiran sosial: Sebagai satu generasi muda yang masih mentah, maka sudah tentulah pengalaman mereka terhad dan ada batasnya. Walaupun sering diwar-warkan sebagai generasi yang sangat terbuka dan maklumat berada di hujung jari, ini tidak bermakna mereka mengetahui segala-galanya. Apatah lagi hal-hal yang berkaitan disiplin, kemahiran dan pengurusan hidup ini tidak boleh dikuasai hanya dengan duduk melayari internet.

Di sinilah terletaknya kelemahan mereka yang semakin jauh dengan kehidupan bersosial di alam nyata dan perhubungan asas sesama manusia. Jika anda mampu membantu dan membangunkan komponen ini dalam diri mereka, susah pasti anda akan amat dihargai dan mudah mempengaruhi mereka.

4. Salurkan potensi ke pentas yang paling optimum: Carikan dan sediakan pentas untuk mereka beraksi dan meledakkan semua potensi yang dimiliki. Kalau tidak jumpa, ciptakan pentas untuk mereka. Samada berbentuk material, fizikal mahupun kejiwaan.

Jika tidak, mereka akan tetap menyalurkan potensi yang terpendam dalam diri, tapi mungkin mengikut saluran dan wacana yang salah. Ataupun mereka akan kecewa dengan dunia yang tidak mengiktiraf kemahiran serta kebolehan mereka dan akhirnya putus harapan untuk terus bergerak ke hadapan

5. Bersedia untuk berubah dan guna pendekatan baru: Terutamanya generasi tua yang sering merasakan susah untuk memahami generasi baru ini, anda sebenarnya perlu berubah dan belajar kemahiran baru untuk lebih mudah diterima mereka.

Ya, sudah tentu tanpa mengorbankan prinsip asas dan aset pengalaman yang telah anda miliki. Ia mungkin semudah mendaftar akaun Facebook dan belajar melakukan selfie!

Ir Hj Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad
Kluster Tarbiah Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close