Berita UtamaUtama

Dua pegawai kanan RTM direman bantu kes dana LZS

Seorang lelaki turut ditahan, dibebaskan selepas beri keterangan

SHAH ALAM, 14 Safar 1441H, Ahad – Dua pegawai kanan Radio Televisyen Malaysia (RTM) direman selama sembilan hari, bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu membabitkan wang daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, kedua-dua pegawai wanita berusia 37 tahun dan 40 tahun itu antara tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan pada 7 Oktober lepas.

“Turut ditahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga pemilik syarikat swasta, yang dibebaskan selepas selesai diambil keterangan, dan hanya dua pegawai kanan berkenaan direman sehingga 15 Oktober ini. Seramai 11 individu telah dipanggil untuk membantu siasatan ini, termasuk dua pegawai RTM dan lelaki berkenaan.

“Kami (SPRM) harap dapat melengkapkan siasatan kes ini dalam masa satu atau dua minggu lagi untuk menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program sempena ulang tahun Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) ke-54, dan Kempen Anti Rasuah Sempena Ulang tahun SPRM ke 52 di Pasar Tani Seksyen 13, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Fama Ishak Ismail dan Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim.

Difahamkan, kedua-dua pegawai RTM berkenaan membuat tuntutan palsu kepada RTM walaupun LZS telah mengeluarkan wang tajaan untuk penerbitan sebuah program rancangan televisyen, manakala lelaki yang turut ditahan itu adalah suami kepada seorang daripada pegawai kanan berkenaan.

Mengulas mengenai senarai pihak yang dikenakan kompaun berkaitan penerimaan dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Latheefa berkata, sehingga kini tiada pihak tampil untuk menjelaskan kompaun berkenaan.

Katanya, pihak yang terbabit boleh hadir ke pejabat SPRM untuk berbincang mengenai pembayaran kompaun berkenaan ataupun sekiranya mereka memerlukan tempoh lanjutan untuk melakukan pembayaran berkenaan.

Terdahulu, SPRM mendedahkan 80 individu dan entiti termasuk bekas Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak, akan menerima notis kompaun kerana dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Notis kompaun terhadap semua pihak terbabit dikeluarkan mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001). -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close