Asean/Asia-PasifikBerita UtamaDuniaUtama

Pengganas Daesh tikam menteri Indonesia sebab dendam

Pihak berkuasa tangkap pengganas JAD Bekasi, pimpinan Abu Zee

BANTEN (INDONESIA), 13 Safar 1441H, Sabtu – Polis Indonesia hari ini mendedahkan suspek utama serangan senjata terhadap Menteri Politik, Undang-Undang dan Keselamatan, Wiranto tidak mengenali mangsa sepenuhnya.

Khamis lalu, Wiranto cedera selepas ditikam seorang lelaki selepas menghadiri satu majlis di Universiti Mathlaul Anwar di Pandeglang.

Rakaman video memaparkan menteri itu bersalaman dengan Ketua Polis Pandeglang, sebelum seorang lelaki tiba-tiba menyerbu dari arah hadapan lalu menikamnya.

Wiranto jatuh terduduk di sebelah kenderaan sebelum dipapah dan diusung ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital berdekatan. Serangan itu juga telah mencederakan seorang penduduk tempatan.

Ketua Polis Indonesia Dedi Prasetyo berkata, suspek utama, Syahril Alamsyah atau lebih dikenali sebagai Abu Rara, 31, telah merancang serangan bersama-sama isterinya, Fitri Adriana Sunarto.

Katanya, serangan dibuat bermotifkan dendam berikutan penangkapan ketua pengganas Jamaah Ansharut Daulah (JAD) Bekasi, Abu Zee baru-baru ini.

Difahamkan, dalam serangan itu suspek menyasarkan mana-mana pegawai kerajaan dan anggota keselamatan.

“Abu Rara mengarahkan isterinya untuk menikam pegawai polis yang berdekatan dengan Wiranto, sementara dia akan menikam menteri berkenaan,” kata Prasetyo.

Beliau berkata, kedua-dua suspek adalah pengikut pengganas Daesh dan kini ditahan untuk siasatan polis.

Wiranto yang juga bekas ketua angkatan tentera dan bekas calon Presiden berusia 72 tahun itu telah dipindahkan ke hospital di Jakarta dan dilaporkan stabil.

“Keadaan beliau stabil dan kini masih dirawat di hospital,” kata Ketua Polis Banten, Tomsi Tohir seperi dilaporkan Metro TV. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close