Berita UtamaUtama

16 melecur belon helium meletup

Mangsa luka tahap pertama dan kedua, tiada cedera satu badan

PUTRAJAYA, 13 Safar 1441H, Sabtu – Seramai 16 orang termasuk kanak-kanak melecur apabila belon helium yang menjadi ‘prop’ untuk program kecergasan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini meletup.

Mereka yang terjejas dalam insiden 11.30 pagi itu membabitkan sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berumur antara empat dan 30-an, yang antaranya adalah peserta dan pengunjung ke program kecergasan Kementerian Pendidikan hari ini.

Mereka kini dirawat di Hospital Putrajaya dan ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan seorang dewasa yang cuba memutuskan benang ikatan belon dengan pemetik api yang kemudiannya menyambar belon helium berkenaan.

“Polis menjumpai pemetik api yang disyaki di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya.

Katanya, kejadian berlaku selepas program kecergasan itu selesai kira-kira 11 pagi, iaitu sewaktu untuk “berkemas-kemas”.

Program kecergasan itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pada sebelah pagi berjalan lancar. Pada program itu, Teo turut mengambil bahagian melakukan aktiviti kecergasan.

Rosly berkata, sehingga kini, masih belum ada pihak tampil untuk membuat laporan berhubung insiden itu.

Beliau berkata, wakil penganjur atau mangsa boleh membuat laporan untuk membolehkan polis memulakan siasatan.

“Setakat ini, belum ada sesiapa yang ditahan untuk siasatan,”katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya Dr Khairul Nizam Hassan berkata, tiada mangsa yang kritikal.

“Mangsa mengalami luka terbakar tahap pertama dan tahap kedua. Kecederaan yang dialami mangsa berbeza ada yang dikening, rambut dan tangan. Tidak ada yang cedera satu badan,”katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut melawat mangsa di Hospital Putrajaya, sejurus selepas menghadiri satu program sempena Hari Kanak-kanak 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1) Putrajaya berhampiran.

Dr Wan Azizah ketika ditemui di Hospital Putrajaya selepas melawat mangsa berkata, ada mangsa kanak-kanak yang ditemuinya trauma dengan kejadian itu sehingga tidak mampu untuk bercakap.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia membantu dari segi kaunseling kepada mangsa.

“Sedih tragedi sudah berlaku di tempat yang sepatutnya ada temasya,” katanya. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close