Berita UtamaUtama

Undi 18 tahun mula kuat kuasa selewat-lewatnya 1 Julai 2021

SPR lantik Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) di kalangan ahli politik

BANGI, 11 Safar 1441H, Khamis – Pelaksanaan umur pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik akan dikuatkuasa selewat-lewatnya 1 Julai 2021.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun bagaimanapun berkata, pihaknya akan berusaha untuk melaksanakannya secepat mungkin.

Katanya, satu Jawatankuasa Task Force SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara telah ditubuhkan bagi urusan penyelarasan maklumat warganegara serta perkara lain yang berkaitan dengan pelaksanaan itu.

“Dalam tempoh peralihan sebelum ianya dikuat kuasakan, SPR memaklumkan cadangan untuk melantik Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) dalam kalangan ahli politik.

“Bagi tujuan ini, parti-parti politik boleh mengemukakan cadangan pelantikan ini kepada Ibu Pejabat SPR dan mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara mulai sekarang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa bagi pemilihan wakil Dewan Rakyat, tarikh pelaksanaan kelayakan calon umur 18 tahun telah mula dikuatkuasa pada 11 September yang lalu.

“Untuk pemilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, katanya, ia masih belum dikuatkuasa lagi kerana memerlukan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri atau Perlembagaan Negeri diluluskan terlebih dahulu. 

“Pada dasarnya, SPR menyarankan agar pindaan ini dibuat semasa persidangan DUN yang dijangka daam bulan November 2019 atau selewat-lewatnya bulan Mac 2020,” katanya.

Katanya, semua pihak ambil maklum akan pindaan itu yang berkuat kuasa di peringkat Dewan Rakyat dan berharap ia juga dapat dilaksanakan segera di peringkat DUN.

“Hasil daripada perbincangan tersebut, SPR telah mengambil maklum ke atas semua cadangan dan idea yang diajukan oleh wakil-wakil parti yang hadir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum ianya dilaksanakan.

“SPR juga akan terus mengadakan sesi libat urus dengan parti politik dan pelbagai pihak dari semasa ke semasa selain memaklumkan status pelaksanaan terkini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close