Berita UtamaUtama

Tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja meningkat

Ambil serius jika individu mula asing diri, berubah tabiat makan dan tidur

BANGI, 11 Safar 1441H, Khamis – Tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun di Malaysia, menunjukkan peningkatan iaitu prevalen idea bunuh diri ialah 10 peratus pada tahun 2017 berbanding 7.9 peratus ketika 2012.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, kajian sama juga mendapati prevalen kemurungan adalah 18.3 peratus, di mana satu daripada lima remaja mengalami masalah berkenaan, dua daripada lima pula alami keresahan dan satu daripada 10 adalah stres.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan individu yang terbabit dalam cubaan dan kematian bunuh diri mempunyai beberapa faktor risiko mendorong perbuatan berkenaan.

“… iaitu antaranya mempunyai sejarah cubaan bunuh diri, mengalami kemurungan dan penyakit mental, penyalahgunaan alkohol dan substans, mempunyai sejarah keluarga bunuh diri, penyakit kronik dan sering kesunyian atau berasa keseorangan.

“Mencegah tingkahlaku bunuh diri adalah tanggungjawab bersama. Kita semua boleh belajar mengenali tanda-tanda amaran bunuh diri dan mengambilnya dengan serius,” katanya.

Beliau berkata, tanda-tanda awal kepada tingkah laku itu boleh dikesan sekiranya individu mula mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan, selain perubahan ketara dalam tabiat makan serta tidur.

Katanya, ia juga boleh dikesan apabila individu itu bercakap mengenai bunuh diri atau kematian secara umum di luar kebiasaannya di media sosial, atau menyatakan rasa putus asa dan bersalah atau memberikan barangan kepada orang lain serta menulis nota luar biasa panjang.

Justeru, bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia hari ini, Dr Noor Hisham berkata, KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan mental di peringkat kesihatan primer, di mana sebanyak 1,001 klinik kesihatan serta lebih 200 Pakar Perubatan Keluarga memberikan perkhidmatan promosi, saringan dan intervensi kesihatan mental.

“Selain itu, empat (4) buah institusi mental, 60 hospital kerajaan dan 25 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di seluruh Malaysia turut menawarkan perkhidmatan psikiatri, kaunseling dan psikoterapi kepada individu yang mengalami kemurungan serta pengurusan kes berkaitan tingkah laku bunuh diri.

“Terdapat juga Pertubuhan Bukan Kerajaan seperti The Befrienders, Malaysian Mental Health Association (MMHA) dan Mental Illness Awareness Support Association (MIASA) yang turut menawarkan perkhidmatan sokongan kepada individu yang mengalami masalah emosi, kemurungan, dan keinginan untuk membunuh diri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pihak media supaya memastikan pelaporan fakta tepat mengenai kesihatan dan penyakit mental, serta mengikut garis panduan media berhubung laporan bunuh diri.

“Stigma terhadap kesihatan mental dan penyakit mental harus dihapuskan. Masyarakat harus tidak menghukum dan lebih terbuka membicarakan isu kesihatan mental seperti kemurungan dan tidak menganggapnya sebagai kes-kes terpencil.

“Keseriusan sesetengah kes, terutama yang melibatkan kehilangan nyawa seharusnya memberi isyarat yang jelas untuk semua pihak bertindak,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close