Berita UtamaUtama

Tiada PRN di Perak

Lawatan ke sekolah hanya urusan semakan biasa dijalankan SPR

BANGI, 11 Safar 1441H, Khamis – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan dakwaan bahawa pihaknya sedang mengambil tindakan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perak, seperti mana dilaporkan media atas talian semalam.

Laporan berita berkenaan turut menyiarkan surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak kepada Pejabat Pilihan Raya negeri berhubung kelulusan dalam mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai pusat mengundi.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun bagaimanapun menjelaskan, lawatan ke sekolah-sekolah adalah urusan semakan yang dijalankan pihaknya dari semasa ke semasa.

“Urusan ini sedang berjalan di semua negeri seluruh Malaysia sejak Disember 2018 bagi tujuan melihat kesesuaian pusat mengundi sedia ada.

“Ini adalah untuk memastikan jumlah pengundi di sesebuah pusat mengundi tidak terlalu ramai dan urusan itu selaras dengan Seksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak media atau orang ramai supaya dapat merujuk kepada SPR terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian sebelum menyiarkan sebarang berita berhubung urusan pilihan raya, bagi mengelakkan kekeliruan yang tidak sewajarnya kepada pihak awam.

Semalam, tular berita kononnya PRN Perak akan diadakan tidak lama lagi berikutan beberapa ADUN daripada DAP akan keluar parti dan menjadi Bebas.

Berita tular itu turut disertakan dengan satu tangkap skrin sekeping surat bertarikh 23 September lepas daripada Jabatan Pendidikan Negeri kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengadakan lawatan amal tapak ke sekolah-sekolah sebagai pusat mengundi di dalam negeri ini.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close