Berita Utama

Mansuh skim pencen penjawat awam petanda jelas kerajaan gagal urus ekonomi

Semua bekas PM hadapi masalah sama tapi masih berupaya atasi bebanan negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 18 Rejab 1445H, Selasa – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan keputusan Kabinet berhubung pemansuhan skim berpencen penjawat awam adalah sesuatu yang menghairankan.

Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, agak pelik kerajaan yang kononnya dipimpin oleh seseorang yang hebat tidak mampu untuk meneruskan skim pencen ini.

Katanya, semua bekas Perdana Menteri pun menghadapi masalah bebanan tanggungan pencen, namun masih berupaya membangunkan ekonomi selain dapat meneruskan skim pencen penjawat awam.

“Dengan segala kemudahan tersedia seperti rangkaian lebuh raya, pelabuhan yang besar dan lapangan terbang yang antara terbesar di dunia yang sepatutnya tiada masalah menarik pelabur-pelabur dari luar yang baharu untuk masuk ke sini.

“Malangnya bukan pelabur baharu yang masuk tetapi pelabur sedia ada meninggalkan negara ini. Jika rasa tidak mampu, berilah kepada tokoh lain mengetuai kerajaan ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan keputusan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen bagi penjawat awam lantikan baharu adalah usaha pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kemudahan ini terus wujud.

Ini kerana menurutnya, ia membabitkan majoriti kakitangan awam yang terdiri daripada kalangan orang Melayu dan Bumiputera.

Sebelum ini, kerajaan menyangkal dakwaan langkah mewujudkan pengambilan baharu penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen akan menjejaskan nasib orang Melayu yang merupakan majoriti dalam penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sebaliknya telah dikaji sejak lama dulu di mana mesti ada rancangan baharu untuk mengganti skim itu bagi mengelakkan negara daripada risiko muflis dan memberi masalah kepada generasi akan datang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button