Berita UtamaUtama

2 ADUN DAP terbabit pengganas LTTE ditahan bawah SOSMA

ADUN Seremban Jaya, pemimpin NGO ditahan Bukit Aman pagi ini

BANGI, 11 Safar 1441H, Khamis – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan ditahan pihak polis selepas dipercayai terbabit dalam upacara perjuangan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mereka disiasat kerana dipercayai ada hubungan dengan LTTE, kumpulan pemisah yang terbabit dalam perang saudara lebih tiga dekad di Sri Lanka.

G Saminathan, Exco Kerajaan Negeri Melaka yang bertanggungjawab kepada portfolio sumber manusia dan ADUN kawasan Gadek ditahan dan digari di pejabatnya di Seri Negeri sekitar jam 8.45 pagi ini.

Manakala ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaren, ditahan Bukit Aman pada pagi ini, bersama seorang pemimpin NGO India dari Perak.

Difahamkan kedua-dua mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Laporan penahanan Exco Melaka itu disahkan sendiri Ketua Menterinya, Adly Zahari, lapor BH Online.

“Memang ada maklumat, seorang Exco kita ditahan pihak Bukit Aman pagi ini. Bagaimanapun, secara dasar, kita serahkan pada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Saya yakin Yang Berhormat (Exco) itu akan memberikan kerjasama penuh dan saya juga akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung tangkapan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy juga dilaporkan mengesahkan penahanan mereka.

LTTE adalah kumpulan di Sri Lanka yang dianggap sebagai pengganas oleh beberapa negara.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close