Berita UtamaUtama

170 mangsa masih ditempatkan di 2 pusat pemindahan banjir

Hujan lebat punca air Sungai Ketil melimpah jejas kawasan rendah

ALOR SETAR, 11 Safar 1441H, Khamis – Sebanyak 170 orang daripada 55 keluarga yang dipindahkan kerana banjir di Baling masih ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir (PPS), sehingga 8 pagi ini.

Pegawai Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Lt Mohd Faizol Ab Aziz berkata, kesemua mereka yang juga penduduk di beberapa buah kampung dalam Mukim Baling dan Pulai ditempatkan di PPS Dewan Tun Abdul Razak (lama) dan Kompleks Sukan Baling.

“Seramai 24 orang mangsa dari lima keluarga kini di tempatkan di Dewan Tun Abdul Razak (lama) dan seramai 146 orang dari 50 keluarga berada di Kompleks Sukan Baling.

Jumlah mangsa hari ini meningkat berbanding 145 orang, membabitkan 49 keluarga yang sebelum ini telah dipindahkan pada tengah malam Selasa, apabila 30 lagi mangsa dipindahkan malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan kemungkinan jumlah mangsa yang kini berada di dua pusat pemindahan berkenaan akan berkurangan jika keadaan banjir beransur pulih hari ini.

Mohd Faizol berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakt serta Majlis Daerah Baling sentiasa memantau keadaan dan bersedia membantu mangsa yang terjejas.

Katanya, antara kampung yang terjejas ialah Kampung Tanjung Merbau, Kampung Lubuk Pedati, Kampung Bendang Sera, Kampung Charuk Sikin dan Kampung Sungai Limau.

Banjir itu berlaku disebabkan hujan lebat yang menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dan menenggelamkan kawasan rendah dan rumah penduduk berhampiran. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close