Berita UtamaIstimewaUtama

Utusan Melayu ditutup

Syarikat tak mampu teruskan perniagaan selepas 80 tahun

BANGI, 10 Safar 1441H, Rabu – Syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad didakwa akan memberhentikan operasi berkuatkuasa hari ini, selepas melalui tempoh paling kritikal sejak mula ditubuhkan 80 tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu menerusi satu memorandum pekeliling ‘Pemberhentian Operasi Perniagaan Syarikat’ yang dikeluarkan hari ini.

Sumber Ismaweb mengesahkan mengenai pekeliling berkenaan, namun tidak memberikan maklumat lanjut berhubung perkara itu.

“Ya, kakitangan menerima pekeliling berkenaan hari ini,” kata sumber ringkas.

Menerusi pekeliling berkenaan, Lembaga Pengarah Utusan pada 7 Oktober lalu, telah meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors Voluntary Liquidation) dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim.

Pekeliling itu menyatakan, langkah berkenaan terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

“Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuatkuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019. Sehubungan dengan itu, tarikh akhir tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019, manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019,” katanya.

Menurut notis berkenaan, kakitangan juga diminta untuk mengemas tempat kerja, mengambil barang peribadi dan mengembalikan semua peralatan serta harta syarikat, termasuk kad akses dan kunci pejabat kepada ketua jabatan selewat-lewatnya jam 1 tengah hari ini.

Difahamkan, satu taklimat kepada semua kakitangan daripada pelikuidasi juga akan diadakan di Dewan Besar Utusan, jam 3 petang ini.

Sebelum ini, Utusan dilaporkan tidak mampu lagi membayar gaji pekerja mereka kerana masalah kewangan yang berlaku.

Bahkan, 769 pekerja Utusan dilaporkan hidup dalam kesukaran sehingga ada yang terpaksa meminjam wang daripada ah long dan menggadaikan harta.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close