Berita UtamaUtama

Polis minta orang ramai henti buat spekulasi kes Adib

Salah faham terhadap empat suspek kerana laporan media tempatan

BANGI, 10 Safar 1441h, Rabu – Polis hari ini meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi berhubung empat suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, merujuk kepada empat suspek yang dikatakan terbabit dalam kes bunuh anggota bomba, mereka adalah daripada enam yang ditangkap di lokasi insiden rusuhan di Menara MCT, USJ 25, Putra Height dan disiasat di bawah Seksyen 147/427 dan 447 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, salah faham berhubung empat suspek yang dibebaskan dalam kes kematian Muhammad Adib sebelum ini adalah disebabkan kekeliruan daripada laporan beberapa media tempatan.

“Sebagai contoh, terdapat dua tajuk laporan media bertarikh 10 Disember 2018. Salah satu daripadanya melaporkan bahawa ‘Empat suspek yang disyaki menyerang Adib dibebaskan daripada reman’.

“Sebuah lagi laporan melaporkan ‘Empat suspek pukul Muhammad Adib bebas dengan bon mahkamah dan jamin polis’. Yang telah dilakukan di MCT, ingin saya jelaskan di sini, suspek-suspek ini adalah di kalangan 12 orang yang ditangkap untuk membantu siasatan kes 307 Kanun Keseksaan.

“Oleh kerana mereka ditangkap secara berperingkat, lapan orang telah dibebaskan dengan jaminan polis terlebih dahulu, manakala empat lagi dibebaskan kemudiannya,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Huzir berkata, daripada empat orang itu, dua dibebaskan dengan jaminan polis dan dua lagi dibebaskan dengan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) atas kesalahan merusuh di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan; mendatangkan bencana di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan; dan pencerobohan jenayah di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis telah menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara pada 4 Oktober lalu untuk meneruskan siasatan.

“Pihak polis telah membuat temujanji dengan beberapa saksi dan akan meneruskan siasatan lanjut. Diharap semua pihak menerima penjelasan ini dan memberi ruang kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan. Selepas siasatan selesai pihak polis akan merujuk semula kepada Pejabat Peguam Negara,” kata beliau.

Baru-baru ini, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak kuil pada 27 November tahun lalu, adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), selepas bertarung nyawa selama 22 hari, akibat kecederaan parah di badan setelah dipukul perusuh kuil itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close