Berita UtamaUtama

Menteri hanya kayakan kroni tanpa pedulikan nasib marhaen

Duduk sebelah KLCC bukan bererti kaya, dengar keluhan B40, M40

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Safar 1441H, Rabu – Rakyat perlu berani berubah menekan pemimpin yang berkuasa untuk tunduk mengikut kemahuan rakyat, bukan kapitalis.

Demikian tegas Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa), Hazwan Mohamad dalam Wacana Sinar-132 yang diadakan semalam.

Beliau berkata, realiti yang harus ditelan hari ini adalah apabila yang kaya menjadi semakin, kaya sementara yang miskin menjadi bertambah miskin. 

Katanya, keadaan itu berlaku apabila kerajaan sering memfokuskan untuk membantu kroni mereka semata-mata tanpa menghiraukan nasib rakyat.

“Pak-pak menteri jangan hanya mengkayakan kroni semata-mata, tapi tolong bantu rakyat marhaen. Tun M dulu pernah cakap dah jadi kerajaan jangan hentam kapitalis. Kapitalis lah yang mengkayakan negara dan negeri.

“Ya benar, mereka lah yang beri duit kepada pak menteri sehingga menghentam dan mencengkam rakyat marhaen dek kerana kapitalis punya minda tidak boleh memberi kemenangan kepada rakyat jelata,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk memberi bantuan serta dana yang mampu mengangkat anak muda menghadapi tekanan masa hadapan dan juga tekanan sara hidup.

“Tolong dengar rintihan orang hidup dalam bandar, bukan semata-mata sebab mereka duduk sebelah KLCC jadi mereka dianggap kaya, tapi sebenarnya dia duduk di B40, M40. 

“Julat pendapatan tidak masuk akal, RM3,000 sahaja pendapatan. Nak hidup apa dalam bandar dengan pendapatan sebegitu. RM3,000 sebulan itu sudah tidak relevan lagi dengan kos sara hidup di bandar yang semakin meningkat.

“Sebab itu jangan kayakan kroni sahaja, tetapi tolong bantu rakyat marhaen,” katanya.

Di samping itu, kerajaan juga mesti mewujudkan bukan semata-mata peluang pekerjaan, tetapi peluang pekerjaan yang bermaruah. 

“Ianya perlu sesuai dengan tahap kelulusan atau kursus pengajian dengan gaji yang setimpal. Ini kerana mengikut statistik, hampir 200,000 penganggur dari kalangan belia.

“Pada masa sama, kerajaan juga wajar membantu secara serius anak muda yang berminat dalam bidang keusahawanan dengan memberikan dana dan bantuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa masalah akar iaitu isu ekonomi orang Melayu Islam dan Bumiputera yang membentuk majoriti dalam negara ini perlu diselesaikan secara serius.

“Kerana, saya yakin serta percaya, jika masalah ekonomi orang Melayu ini selesai, maka jurang kekayaan antara kaum pun akan selesai dan akan memacu pembangunan ekonomi yang mampan. 

“Kerajaan juga sepatutnya mendokong gerakan ekonomi rakyat yang dibawa melalui Kempen Beli Produk Muslim (BMF) yang telah terbukti memberi impak yang hebat terhadap penurunan harga barang dan sekaligus membantu perkembangan ekonomi Melayu Bumiputera,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close