Berita UtamaIstimewaUtama

Pelawaan Tok Mat bentuk kerajaan Melayu, Islam logik

Kenyataan Khalid Samad hanyalah ketakutan tiada asas: Isma

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 10 Safar 1441h, Rabu – Gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang mengibaratkan pelawaan UMNO membentuk kerajaan Melayu dan Islam seperti mengiyakan tindakan Myanmar menafikan hak kaum Rohingya.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, tiada salahnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk kerajaan Melayu.

Bahkan, beliau berkata, pelawaan berkenaan juga sama sekali tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, seperti didakwa pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) itu.

“Ini hanyalah satu amalan demokrasi, di mana sesiapa sahaja diberikan kebebasan untuk membentuk kerajaan jika mendapat sokongan majoriti.

“Oleh kerana Melayu adalah majoriti, jadi ia (pelawaan) itu adalah sesuatu yang logik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Khalid Samad dilaporkan berkata, kaum Melayu tidak boleh menjadi bangsa berfikiran sempit dengan cuba menafikan hak kaum lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau kita buat begitu (nafi hak mereka), kita mengiakan tindakan kerajaan Myanmar terhadap orang Rohingya, mengiakan tindakan Serbia yang bunuh orang Islam negara di Bosnia kerana berketurunan Turki.

“Kalau ungkit cerita seperti ini, apa gunanya? Sedangkan kita sedang bina sebuah negara berteraskan masyarakat majmuk,” kata Khalid.

Kenyataan Pengarah Komunikasi PAN itu susulan pelawaan Mohamad kepada Dr Mahathir untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu sekiranya perdana menteri itu benar-benar ikhlas mahu memulihkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin menyifatkan pandangan Khalid yang menganggap bangsa lain akan tertindas serta dinafikan hak jika kerajaan baharu itu terbentuk, adalah sempit dan dangkal.

“Kerajaan Melayu boleh saja melantik bangsa lain untuk apa-apa jawatan. Orang Melayu bukan kaum yang rasis dan zalim, tetapi sangat bertoleransi.

“Sejarah adalah bukti kenyataan ini. Kerajaan Melayu adalah penting untuk menjaga agama Islam. Ia akan lebih selama dan keadilan akan lebih terjamin. Kenyataan Khalid hanyalah satu ketakutan yang tiada asas untuk disamakan dengan Rohingya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close