Berita UtamaUtama

Tak malu masih merangkak cakap Melayu berbanding pelajar luar negara?

Saya nak buat kajian di SJKC, kita lihat guru Cina ajar Sejarah

BANGI, 9 Safar 1441H, Selasa – “Tidak malukah kita melihat orang Bangladesh dan pelajar luar negara boleh menguasai bahasa Melayu dalam masa sebulan?

“Sedangkan kita yang berkurun tinggal di sini masih lagi merangkak-rangkak,” sindir pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, dengan mengambil contoh Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2019, baru-baru ini. 

Dilaporkan, juara kategori pelajar Antarabangsa di Malaysia menjadi milik Moustapha Koutoub Sano yang juga penuntut UIAM dari Guinea, sementara Qurbanov Ozad Nurmuhammad Ugli dari Uzbekistan State University of World Languages dinobatkan sebagai pemenang kategori Antarabangsa.

“Ketika Moustapha ditanya atas kemenangannya, beliau berkata, beliau hanya mengambil masa selama sebulan untuk berlatih dan tidak menyangka boleh menang pertandingan ini.

“Beliau yang berada di Malaysia selama 10 tahun berasa gembira dan bersyukur kerana memenangi pertandingan ini.

“Cuba pertandingkan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dengan Sekolah Kebangsaan (SK)? Kita lihat bagaimana gelagat mereka?,” kata Ridhuan Tee.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang menempelak tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berdiam diri berhubung gesaan wakil dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) supaya kerajaan menghapuskan sekolah vernakular secara berperingkat.

Tidak berpuas hati dengan keadaan itu, Ka Siong berkata, tindakan kepemimpinan tertinggi DAP yang diam membisu tanpa memberi komen terhadap resolusi dilihat canggung kerana DAP kini mempunyai kuasa untuk membantah perkara itu.

Ka Siong juga dipetik sebagai berkata, “Saya dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, apa yang salah pada saya? Saya boleh bercakap Bahasa Melayu lebih baik dari orang lain.”

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, jika hendak mengetahui samada pelajar SJKC boleh berbahasa Melayu dengan baik atau tidak, elok dibuat kajian secara menyeluruh.

“Kajian termasuk keputusan UPSR, berapa ramai yang gagal dalam UPSR dan mendapat markah rendah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Begitu juga kebolehan bertutur. Jangan menegakkan benang yang basah,” katanya.

Ridhuan Tee turut meminta agar beliau dibenarkan membuat kajian di SJKC dan Sekolah Menengah Persendirian Cina, termasuk mengkaji silibus Sejarah dan memerhatikan guru-guru Cina yang mengajar subjek Sejarah di Sekolah Persendirian Cina.

“Saya mahu tengok bagaimana cikgu Cina mengajar sejarah Tanah Melayu kepada murid-murid Cina. Dari mana hendak bermula mengajar sejarah Tanah Melayu. Minta SJKC kumpulkan guru-guru dan murid-murid untuk saya temubual mengikut kaedah kualitatif,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Sekolah Wawasan yang dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu adalah sekolah terbaik untuk rakyat Malaysia tetapi ditolak oleh Dong Jiao Zong kerana tidak mahu menjadi ‘Cina Pisang’ atau Cina yang kurang keCinaannya.

“Masalah Dong Jiao Zong mahu orang Cina menjadi secina-cinanya malah lebih Cina daripada Cina di China,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close