Berita UtamaDuniaUtama

PBB kutuk serangan Khalifa Haftar sasar kanak-kanak

Empat bom dilepaskan di kelab Equestrian, kemudahan awam

TRIPOLI, 9 Safar 1441H, Selasa – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan udara oleh pasukan tentera yang setia kepada Jeneral Khalifa Haftar di sebuah kelab equestrian di barat ibu kota Libya, sehingga mencederakan kanak-kanak.

Pemantau Libya berkata, kelab itu dipenuhi kanak-kanak yang mengambil bahagian belajar menunggang kuda ketika pesawat tempur milik Tentera Kebangsaan Libya, pimpinan Haftar menyasarkan Kelab Equestrian di kejiranan Janzour di Tripoli pada petang Ahad.

Sekurang-kurangnya lima kanak-kanak cedera dan beberapa ekor kuda terbunuh dalam kejadian itu yang yang digambarkan oleh Tentera Kerajaan Libya (GNA) sebagai ‘pesawat perang UAE menyokong tentera Haftar’ terhadap Akademi dan Laluan Equestrian di Janzour.

Tentera Jeneral Khalifa menguasai sepenuhnya kawasan timur Libya, menawan wilayah padang pasir yang kurang dihuni, bergerak ke selatan, sebelum melancarkan serangan ke atas Tripoli sejak 4 April lalu.

Jeneral Khalifa, 75, komander tentera di bawah Presiden Muammar Gaddafi yang kemudian tinggal di Amerika Syarikat (AS), mendapat sokongan beberapa Negara Teluk, selain Mesir dan Russia, lapor AFP.

Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Libya (UNSMIL) berkata, mereka ‘terkejut’ oleh serangan udara itu dan telah menghantar satu pasukan ke kawasan berkenaan untuk menilai sifat serangan.

“Misi penilaian itu mengesahkan bahawa jet pejuang menjatuhkan empat bom di kelab Equestrian, kemudahan awam, dan tidak ada aset ketenteraan atau infrastruktur tentera yang diperhatikan di tempat yang disasarkan,” kata UNSMIL dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, UNSMIL mengulangi pendirian bahawa serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam adalah pelanggaran berat terhadap undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa dan mungkin merupakan jenayah perang.

UNSMIL turut menegaskan akan berkongsi bukti yang dikumpulkannya dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang berkaitan. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close