Berita Utama

Dakwa sebelum PRN cubaan bunuh karakter MB Kedah?

Rakyat perlu terjemahkan sokongan pada PRN nanti

BANGI, 2 Muharam 1445H, Khamis – Penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak melemahkan perjuangan PAS sebaliknya mampu menarik lebih ramai lagi sokongan rakyat terhadap parti tersebut.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, penahanan Sanusi kali ini menampakkan tindakan tergesa-gesa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Penahanan terhadap Menteri Besar Kedah dengan terus mendakwa ketika siasatan masih dilakukan dipertikai rakyat.

“Yang berlaku itu seperti tindakan terlalu tergesa-gesa khususnya ketika PRN semakin menjelang tiba.

“Apa pun kita hormati proses perundangan dan ahli PAS diminta supaya terus bertenang dan elak lakukan sebarang provokasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan,” katanya seperti dipetik harakahdaily.net.

Beliau tidak menolak kemungkinan ia adalah permainan politik kerajaan bagi membunuh karakter Menteri Besar Kedah terutamanya menjelang PRN.

Beliau turut mempersoalkan adakah tidak ada masa yang lebih sesuai dikenakan pendakwaan tersebut atau selepas sahaja selesai PRN.

Atas sebab itu katanya, rakyat perlu terjemahkan sokongan pada PRN 12 Ogos ini termasuk peluang terbuka luas bagi menguasai Selangor.

Kelmarin, Muhammad Sanusi ditahan anggota polis kira-kira 3 pagi selepas didakwa atas dua tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Beliau didakwa menghina Sultan Selangor apabila membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button