Berita UtamaIstimewaUtama

Melayu ketinggalan kerana sikap hipokrit pemimpin, bukan ‘sikap bangsa’

KMM akan bermakna jika ada langkah susulan martabat Melayu: Isma

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 8 Safar 1441H, Isnin – Kongres Maruah Melayu (KMM) akan membawa makna sebenar kepada bangsa jika disertakan dengan langkah susulan yang praktikal ke arah mengangkat maruah orang Melayu, kata Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Kecewa dengan hasil penganjurannya semalam, beliau berkata, sangat memalukan apabila kongres yang dihadiri kebanyakan pemimpin Melayu daripada pelbagai latar belakang hanya bersurai tanpa membawa sebarang perkara yang bermakna.

Pemimpin tertinggi gerakan Islam utama itu berkata, beliau menaruh harapan kongres berkenaan akan menghasilkan satu muafakat baharu yang mengubah senario politik negara, memandangkan ia dihadiri pemimpin paling berkuasa.

“Ramai masih menaruh harapan bahawa beliau akan akhirnya tampil sebagai penyelamat bangsa. Saya fikir kongres ini akan menjadi medan beliau untuk melakukan keajaiban, tetapi saya tersilap.

“Bagi saya, kelemahan Melayu bukan kerana sikap bangsanya, tetapi kesan daripada dasar-dasar yang dilakukan oleh pemimpin mereka yang jauhkan diri daripada hidaya Ilahi, sebaliknya lebih bangga dengan cara hidup penjajah serta mementingkan diri sendiri” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas Kongres Maruah Melayu (KMM) semalam, yang menyaksikan pembentangan resolusi enam kluster – budaya; agama; pendidikan; ekonomi dan politik – yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum amanat disampaikan.

Kongres Maruah Melayu dianjurkan empat universiti – Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara – bagi membincang serta mencari penyelesaian masalah orang Melayu.

Ia turut dihadiri pemimpin politik Melayu, termasuklah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa serta pemimpin NGO Melayu dan Islam lain.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik berkata, dasar yang diamalkan kerajaan telah membunuh jati diri bangsa dan meminggirkan orang Melayu daripada arus pembangunan negara.

“Mereka adalah pemimpin-pemimpin penakut yang tidak berani membebaskan diri daripada tunjuk ajar penjajah, bahkan ada yang rela membiarkan menjadi binatang ternak bangsa asing.

“Itulah sebab sebenar kepada musibah yang menimpa orang Melayu pada hari ini, bukan kerana sikap bangsa,” katanya.

Menyangkal beberapa kandungan amanat Dr Mahathir semalam, beliau berkata, tiada istilah untuk melabelkan sikap bangsa semula jadi sebagai pemalas.

Beliau berpandangan, ucapan Dr Mahathir hanya membayangkan minda di era 60-an, di mana tanggapan terhadap sikap orang Melayu pada zaman penjajahan.

“Saya fikir orang Melayu hari ini boleh menguasai ekonomi negara jika mempunyai pemimpin yang bermaruah, berani dan jujur.

“Telah terbukti bahawa pemimpin-pemimpin Melayu yang hipokrit dan pentingkan diri, keluarga serta merelakan diri untuk jadi binatang ternakan bangsa asing punca kepada kemusnahan maruah bangsa,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir berkata, orang Melayu tiada kemahuan untuk memperbaiki nasib mereka sendiri.

“Apa yang saya perkatakan ini mungkin tidak senang didengari kita semua, tetapi ini semuanya yang berlaku dan inilah yang akan diwarisi oleh generasi muda.

“Selagi kita tidak tukar cara hidup kita, selagi kita tidak sanggup kerja, hadapi cabaran semasa pekerjaan, selama itulah kita akan ketinggalan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close