Berita UtamaIstimewaUtama

PRK Tanjung Piai: Calon Melayu Islam paling terbaik

UMNO-PAS perlu bukti Muafakat Nasional bukan retorik sehingga jadi bahan peluru PH, jika masih berkeras pilih bukan Melayu sebagai calon

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Safar 1441H, Jumaat – Parti-parti Melayu dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu duduk semeja bagi membincangkan calon dan strategi paling sesuai untuk menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.

Mengesyorkan perkara itu, Presiden Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abd Aziz berkata, UMNO dan PAS perlu ikhlas dalam membuktikan Muafakat Nasional bukan hanya untuk mereka berdua tetapi juga melangkaui dan membabitkan semua orang Melayu. 

“Jika tidak, kepercayaan yang diberi oleh orang Melayu pada 14 September lalu, akan lebur dan sukar untuk dikembalikan.

“Muafakat Nasional akhirnya akan jadi retorik dan bahan peluru PH jika memilih calon bukan Melayu sebagai calon PRK Tanjung Piai kali ini. Ini bukan isu perkauman tetapi strategi yang perlu diguna pakai pada waktu dan situasi tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang niat untuk meletakkan calon bukan Melayu pada PRK kali ini perlu dipadamkan kerana Tanjung Piai adalah kawasan majoriti Melayu.

Katanya, kawasan majoriti Melayu, kekalahan MCA pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan penurunan undi beberapa PRU sebelum PRU14, semangat kesepakatan hasil Muafakat Nasional dan keadaan semasa politik membuktikan bahawa pilihan calon Melayu Islam adalah yang terbaik.

“MCA perlu berkorban dan memberi laluan serta kena faham kerana ini bukan PRU tetapi PRK yang memerlukan strategi tertentu untuk menang dan melonjakkan perjuangan pembangkang dalam PRU-PRU akan datang untuk menguasai negara. 

“Bila PRU15 nanti, medan untuk berbincang pembahagian kerusi yang lebih menyeluruh boleh dibuat mengambil kira kepentingan semua kaum,” katanya.

Komposisi pengundi P165 Tanjung Piai ialah Melayu 56.7 peratus, Cina 41.6 peratus, India 1 peratus dan lain-lain 0.7 peratus.

Pada PRU14, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik memperolehi 21,255 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini manakala tarikh penamaan calon ditetapkan 2 November serta pengundian awal akan diadakan pada 12 November.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close