Berita UtamaPendapatUtama

Kenapa Syiah cuba gugat ketenteraman akidah Islam?

Syiah ajaran menyeleweng bertentangan prinsip asas Islam

TANGKAPAN beberapa individu yang menyebarkan fahaman Syiah di kalangan umat Islam bulan lalu adalah selari dengan Perlembagaan. Perkara 3 menetapkan Islam agama Persekutuan. Bila disebut Islam, maka mestilah berteraskan al-Quran dan sunnah dan berasaskan prinsip yang tepat dengan Islam.

Syiah adalah ajaran menyeleweng yang bertentangan dengan prinsip asas Islam. Misalnya, ia mengkafirkan sahabat-sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Uthman, menganggap al-Quran sekarang tidak sempurna dan mewajibkan kepercayaan kepada Imam Dua Belas. Oleh itu, ia tidak mencakupi konsep Islam seperti dalam Perlembagaan.

Berkenaan dengan Amman Message yang dirujuk oleh SUHAKAM, perlu diingat bahawa ia adalah satu pengisytiharan untuk menentukan definisi muslim dalam konteks global bagi tujuan persaudaraan Islam dan hak umum seperti mengerjakan haji.

Ia bukannya satu panduan untuk menetapkan sama ada sesuatu aliran itu menepati prinsip Islam atau tidak. Dalam menentukan sempadan ajaran Islam ini, ketetapan tempatan melalui institusi agama perlu menjadi rujukan utama.

Misalnya, tafsiran ‘Islam’ dalam Perlembagaan telah diperincikan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-8 yang diadakan pada 24 dan 25 September 1984, dengan ketetapan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Keputusan sama dibuat dalam Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996. Prinsip ini diperkukuhkan lagi melalui ketetapan melalui enakmen dan fatwa di peringkat negeri-negeri.

Perlu diingat bahawa tindakan berkenaan diambil atas sebab mereka menyebarkan fahaman berkenaan, bukan kerana anutan mereka semata-mata. Tindakan menyebar itu bertentangan dengan undang-undang dan boleh menimbulkan risiko ketenteraman awam.

Kita tidak mahu berlaku konfik mazhab sebagaimana yang berlaku dalam beberapa negara umat Islam. Biarlah Malaysia tenang dengan pegangan ahli sunnah wal-jamaah.

Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 menjamin kebebasan untuk memeluk, mengamalkan dan menyebarkan agama. Tetapi, Perlembagaan membenarkan kerajaan membuat undang-undang untuk mengawal penyebaran apa-apa ajaran dan fahaman di kalangan orang Islam.

Oleh kerana Syiah didefinisikan sebagai ajaran yang bertentangan dengan prinsip Islam, maka penyebarannya boleh dikawal oleh kerajaan. Apa yang dilakukan di Selangor adalah sah kerana ia dilaksanakan mengikut saluran undang-undang yang betul.

Pengikut Syiah boleh menganut dan mengamalkan ajaran mereka dengan bebas, dengan syarat mereka tidak menyebarkannya. Jika mereka ingin berdakwah, sepatutnya mereka mengajak rakan-rakan bukan Islam untuk memeluk Islam.

Jika mereka ingin berbuat demikian, tiada undang-undang yang akan menghalang. Soalnya, kenapa mereka ingin menggugat ketenteraman dengan menggoncang akidah umat Islam?

Kita amat berharap agar isu ini dilihat secara adil dengan mengambil kira kepentingan umum. Gesaan untuk memberikan kebebasan tanpa memikirkan risiko ketenteraman awam adalah satu gesaan yang tidak bertanggungjawab.

Hak asasi sepatutnya tidak boleh dilihat dari perspektif yang sempit berteraskan kepentingan individu, sebaliknya kepentingan rakyat, keamanan negara dan keharmonian masyarakat perlu turut diambil kira daam setiap pertimbangan. Moga Malaysia semakin makmur dan tenteram untuk semua.

Dr Muhammad Fathi Yusof
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan),
Pensyarah Kanan,
Pusat Polisi Perdana,
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak UTM KL

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close