Berita UtamaKata PedangPendapatUtama

Kg Baru: Kalau dah jual, dapat balik tak?

Faham-fahamlah dalam 10 tahun, macam-macam boleh berlaku...

PEDANG teruja membaca berita yang memetik kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bahawa kira-kira 90 peratus pemilik tanah di Kampung Baru telah bersetuju dengan tawaran kerajaan membeli tanah milik mereka dengan harga RM850 persegi.

Sebelum ini, ada penduduk tidak berpuas hati dengan harga itu kerana mereka mahukan harga yang lebih tinggi.

Khalid, pemimpin PAN yang sangat ‘berprestasi tinggi’ memegang jawatan menteri itu berkata, harga RM850 persegi adalah berpandukan kepada penilaian yang ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Ini perkembangan terbaru dalam isu tanah Kampung Baru.

Pedang terfikir satu soalan iaitu seperti yang Pedang tulis sebagai tajuk di atas, kalau tanah dah dijual dan ditukar milik, pemilik akan mendapat ‘bertimbun’ duit jualan, kemudian selepas 8 hingga 10 tahun projek itu siap, adakah pemilik akan dapat membeli semula hartanah yang sudah dibangunkan itu?

Faham-fahamlah dalam tempoh 10 tahun, macam-macam boleh berlaku. Tambah-tambah apabila dapat duit banyak sekali gus, merata duit itu boleh pergi.

Sebab itu Pedang soal, kalau dah jual, kalau dah tukar milik, apa jaminan si pemilik dapat membeli semula?

Pedang sangat bersetuju dengan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim yang mencadangkan proses pajakan tanah selama 60 tahun dalam isu pembangunan Kampung Baru ini.

Hujahnya ialah hak milik tanah tidak berpindah tangan dan ia kekal hak pemilik sampai bila-bila. Bukankah cara ini lebih terjamin?

Nampaknya dengan perkembangan terkini, tanah Kampung Baru bakal bertukar milik. Ia dibeli kerajaan dan dibangunkan kemudian tiada jaminan pemilik asal akan mendapat semula membeli hartanah mereka di situ.

Kerajaan pasti berlepas tangan jika pemilik asal tidak lagi mahu membeli di situ.

Apa yang kerajaan telah janji ialah tanah ini setelah dibangunkan dengan pelbagai jenis hartanah termasuk rumah mampu milik dan hartanah komersil, ia tetap hanya boleh dibeli oleh orang Melayu.

Hanya ini sahaja janji yang boleh meredakan persoalan Pedang tadi.

Tapi, bila fikir balik, janji kerajaan ini boleh pakai ke? Apatah lagi kalau yang bercakap itu Khalid Samad. Fikir-fikirkan.

Kata Pedang: Sokonglah kempen BMF, moga lebih ramai jutawan Melayu lahir dan beli lebih banyak hartanah di Kuala Lumpur dan bandar-bandar di seluruh negara.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close