ArtikelBerita UtamaUtama

Bajet 2020: Usah pinggir keperluan mahasiswa, graduan

Pembina syor skop bantuan baucar diperluas ikut keperluan semasa

TAHUN 2020, kita membayangkan negara Malaysia menjadi negara maju dengan teknologi yang serba canggih. Namun, realiti yang kita hadapi meleset dari apa yang kita bayangkan.

Tetapi, sebagai generasi yang pernah melalui zaman di mana wawasan 2020 itu dipersembahkan, saya mengucapkan tahniah kepada pimpinan sebelum ini kerana berjaya dan berani menggariskan wawasan yang besar itu. Sekalipun tidak berjaya sepenuhnya, tidak salah untuk terus berinsipirasi untuk membina negara.

Namun, kita kena berpijak pada bumi yang nyata di mana isu periuk nasi kita sendiri menjadi masalah di ambang awal tahun 2020.

Sempena pembentangan bajet tahunan 2020, adalah perlu bagi saya untuk kita melihat kembali adakah pembangunan yang kita laksanakan selama ini betul-betul memenuhi keperluan semua orang atau memenuhi kemahuan sesetengah pihak sahaja.

Sebagai anak muda yang baru bergraduasi, saya menjalani sendiri jerih payah untuk mengurus kehidupan terutamanya di kawasan bandar. Sahabat-sahabat yang sebaya saya turut mengalami kepayahan yang sama. Antara punca semua masalah ini bermula apabila graduan tidak mempunyai kerja.

Samada isu kelayakan, gaji yang tidak setimpal ataupun lokasi tempat kerja. Maka kitaran ‘quarter life crisis’ ini pun semakin memuncak dan memberi kesan kepada ramai graduan kita. Masalah ini bukan masalah yang dicipta oleh pemain politik, tetapi ini adalah masalah yang serius dan berlaku dengan jelas. Ini akan memberikan kesan buruk kepada keseimbangan kehidupan belia kita di Malaysia.

Oleh yang demikian, saya dari Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang merupakan persatuan NGO yang aktif di Malaysia terutamanya di kampus ingin mencadangkan beberapa cadangan untuk diambil perhatian kepada pimpinan negara berkenaan belanjawan 2020 yang akan dibentangkan beberapa hari lagi.

Cadangan pertama adalah memberi penekanan kepada keadaan mahasiswa di kampus. Umum sudah sedia maklum bahawa mahasiswa kita mempunyai living cost yang tinggi di kampus. Kita abaikan sebentar isu politik di sebalik bantuan Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH), tetapi sebagai mahasiswa di kampus, bantuan itu sangat membantu untuk menjalani kehidupan awal semester sekalipun jumlahnya tidak terlalu besar.

Tidak ramai mahasiswa mempunyai bantuan yang mencukupi di awal semester bermula. Namun begitu, di dalam masa yang sama, ketirisan yang berlaku dalam isu menukar baucar kepada duit perlu dibendung supaya mahasiswa kita tidak menggunakan bantuan seperti BSH kepada perkara lain. Skop baucar juga perlu diperluaskan mengikut keperluan semasa.

Kajian dari S&P Global Literacy Financial pada tahun 2014 mencatatkan kadar celik kewangan rakyat Malaysia masih berada di tahap yang rendah berbanding negara-negara maju yang lain. Sehubungan dengan itu, kami menyarankan supaya kerajaan memperuntukkan bajet bagi aktiviti-aktiviti mempertingkatkan kadar celik kewangan dalam kalangan pelajar universiti.

Cadangan ketiga adalah memberi secukupnya bajet operasi kepada universiti awam. Sekalipun jumlah yang diperlukan untuk membayai jumlah operasi universiti itu tinggi, tetapi ini penting untuk universiti memberikan fokus kepada kualiti graduan kita dan mengembalikan semula fungsi universiti.

Dari institusi universiti sahajalah yang kita boleh menaruh harapan besar untuk melahirkan idea dan produk yang berinovasi untuk membantu membina negara ini. Sekiranya kita tidak memberi penekanan kepada ini, kami risau sekiranya masyarakat mula mempersoalkan kewujudan universiti dan mengelak dari menghantar pelajar ke sini.

Menerusi isu yang terbaru berlaku kepada pemandu FoodPanda, kita harus sedar bahawa kita masih menggunakan khidmat dan servis dari orang luar. Di mana akhirnya, keuntungan berlipat kali ganda di miliki oleh orang luar itu juga, bukan kepada rakyat kita. Kebarangkalian untuk kita dieksploitasi adalah sangat tinggi. Bila-bila masa sahaja polisi mereka boleh berubah untuk menjaga keuntungan global yang mungkin memberi kesan buruk kepada pekerja.

Bagi kami, kita perlu membangunkan aplikasi dan servis kita sendiri berbanding menggunakan perkhidmatan luar di dalam sesetengah bidang. Kepakaran dan kemahiran sudah sedia ada dimiliki oleh orang kita. Apa yang boleh kita laksanakan adalah menawarkan geran tertentu untuk menarik golongan muda dan berkemahiran untuk membangunakan aplikasi tersebut.

Trend semasa kini juga kita menyaksikan, ramai graduan kita melibatkan diri di dalam perniagaan atau perusahaan. Kebanyakannya adalah pada tahap perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Untuk bersaing dengan syarikat-syarikat luar yang besar atau syarikat luar negara yang sudah semestinya mempunyai pendanaan yang besar berbanding mereka yang di dalam SME.

Adalah kiranya lebih baik untuk kita memberikan galakan dan insentif kepada belia untuk melibatkan diri di dalam perusahaan. Inisiatif seperti dibentangkan di dalam bajet tahun lepas perlu dikekalkan dan dipertingkatkan lagi.

Menerusi kempen BMF yang mendapat sambutan ramai masyarakat Malaysia, kami mencadangkan agar pihak kerajaan boleh memberikan kelebihan kepada pemain industri, ahli eksport dan juga pembeli yang mengutamakan produk-produk muslim. Ini bukanlah bertujuan untuk menafikan keperluan barangan lain tetapi untuk memastikan taraf jurang ekonomi antara kaum dapat dikurangkan serta untuk meningkatkan kualiti dari produk tempatan.

Menurut beberapa kajian dari universiti tempatan, Malaysia dijangka akan sangat bergantung kepada import produk-produk agrikultur termasuk daging lembu, produk tenusu dan sebagainya. Kami mencadangkan agar menyediakan bajet tertentu untuk menawarkan penglibatan anak muda di dalam pekerjaan yang boleh menyumbang kepada peningkatan keselamatan makanan di Malaysia.

Negara kita terkenal sebagai negara yang mempunyai sumber alam yang banyak. Kita perlu memastikan bahawa sumber alam ini dapat digunakan sebaiknya dan memberi manfaat kepada rakyat kita terlebih dahulu. Dari bermula proses penghasilan sehingga ke end-product seharusnya dijalankan oleh orang kita sendiri.

Dengan cara ini, dapatlah kita memberikan sepenuhnya keuntungan kepada rakyat kita sendiri. Kerajaan boleh menawarkan jumlah bajet yang tertentu untuk membina atau membantu membina infrastruktur dan teknologi yang dapat memproses komoditi kepada end-product. Inisiatif ini mampu membuka peluang kerja yang banyak di luar bandar.

Azam Asri
Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close