Berita UtamaPendapat

29 peratus penyokong UMNO akan protes jika MCA letak calon

PRK Tg Piai: Pertandingan lima penjuru tambah kepayahan buat BN

ISU siapa yang layak bertanding di Tanjung Piai semakin hangat dengan BERJASA, PUTRA serta GERAKAN yang menyatakan keinginan untuk bertanding. Namun lensa wartawan semua mengarah kepada MCA dan UMNO.

Hasil kajian yang GPS jalankan pada minggu lepas, 16 peratus pengundi Melayu lebih ramai membuat undi protes berbanding 9 peratus pengundi Cina buat undi protes. 16 peratus daripada pengundi Melayu ini jika dikira dari 55 peratus yang bersedia menyokong UMNO, maka sebanyak 29 peratus dari penyokong UMNO, bersedia membuat undi protes jika MCA bertanding. Manakala 9 peratus dari pengundi Cina dikira dari 62 peratus yang bersedia menyokong MCA, maka undi protes hanyalah 14.5 peratus.

Perkara ini tidak menghairankan kerana akar umbi UMNO bahagian lebih banyak kedengaran untuk menuntut kerusi tersebut diserahkan kepada mereka, berbanding MCA bahagian Tg Piai yang belum bersuara lagi. Secara bilangannya UMNO mempunyai 88 ketua cawangan di kawasan ini. Secara umumnya juga yang menentukan kemenangan Parlimen luar bandar adalah jumlah akar umbi kawasan tersebut.

Parti-parti Melayu lain mungkin telah menghidu respon pengundi Melayu ini, kerana itu masing-masing telah menyatakan kesediaan untuk bertanding jika BN menghantar MCA.

Kemasukan parti PUTRA bertanding atau menyokong BERSATU akan memecahkan lagi undi Melayu ke BERSATU atau ke PUTRA, manakala kemasukan GERAKAN dalam PRK walaupun hilang deposit, namun boleh tarik sebahagian kecil undi Cina. Justeru, ia lebih selamat buat BN jika meletakkan UMNO untuk mengurangkan tiga kesan perpecahan undi kepada satu kesan perpecahan undi sahaja. MCA boleh membantu kempen BN dengan menyakinkan 56 peratus pengundi Cina yang tidak pasti.

BERJASA baru-baru ini juga bersedia untuk hantar calon jika BN hantar MCA. Situasi ini meletakkan BN dalam posisi bahaya, kerana akan menarik sebahagian pengundi PAS dan pengundi yang tidak puas hati dengan kerajaan, namun protes dengan kemasukan MCA sebagai calon.

Jika diambil kira masuknya parti PUTRA dan GERAKAN yang menjadikan pertandingan lima penjuru, ia akan menambahkan kepayahan buat BN untuk menang PRK ini.

MCA juga harus muhasabah mengapa MCA teruk dibelasah pengundi Melayu di PRK DUN Balakong, dan majoriti pengundi PAS langsung tidak mahu keluar mengundi bagi menyokong MCA.

Assiddiq Bin Fauzan
Ketua Operasi Gerakan Pengundi Sedar (GPS)
2 Oktober 2019

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close