Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Segerakan siasatan kes Adib

Pemuda Berjasa tak yakin kewibawaan Tommy Thomas kendali kes

BANGI, 27 Muharram 1441H, Jumaat – Pergerakan Pemuda Berjasa menggesa pihak polis supaya bertindak segera dalam mengendalikan siasatan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, selepas Mahkamah Koroner hari ini memutuskan wujud elemen jenayah dalam kes berkenaan.

Ketua Pemuda Berjasa, Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, sebaiknya keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib dan keluarga dilaksanakan secepat mungkin supaya suasana tidak menyenangkan yang tercetus akibat daripada ‘tragedi hitam’ tahun lalu dapat diredakan.

Katanya, beliau yakin dengan kapasiti dan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyelesaikan siasatan dengan segera secara profesional, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Bagaimanapun Pergerakan Pemuda Berjasa tidak yakin dengan kewibawaan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk mengendalikan kes ini kelak.

“Hal ini kerana Mahkamah Koroner yang sama telah memutuskan secara prima facie bahawa Peguam Negara telah melakukan kesalahan menghina mahkamah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Memandangkan Tommy Thomas kini masih dalam proses berdepan tuduhan berkenaan, Iqbal berkata, sebaiknya beliau tidak terbabit dalam siasatan dan pendakwaan kes Allahyarham Adib.

“Perkara ini penting demi memelihara imej dan kewibawaan Jabatan Peguam Negara di mata rakyat Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lalu, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah menerima teori dikemukakan Prof Dr Shahrom bahawa kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan perusuh menendang pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang mengena dada Allahyarham sehingga menyebabkan Muhammad Adib tersepit.

Mahkamah Koroner juga merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Menyambut baik keputusan inkues hari ini, Iqbal mengingatkan semua pihak supaya terbuka menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

“Hormatilah keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah dan kepada pihak yang terbabit, berikanlah kerjasama yang baik kepada institusi kehakiman negara kita.

“Rakyat Malaysia perlu sama-sama menghindari sikap dan contoh segelintir Exco negeri, bahkan beberapa orang menteri yang menunjukkan sikap tidak hormat kepada pihak berkuasa yang turut menyumbang kepada tercetusnya rusuhan pada Disember tahun lalu,” katanya.

Pada 27 November lepas, Muhammad Adib yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, beliau menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close