Berita Utama

Program baharu fokus pembangunan belia akan diumum

Selaras dengan usaha kerajaan mahu perkasa golongan belia

MELAKA, 7 Rejab 1444H, Ahad – Beberapa program baharu yang memberi fokus pada pembangunan kepimpinan belia akan diumumkan dalam masa terdekat ini, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Beliau berkata, ia melibatkan program sedia ada yang telah ditambah baik dan dirangka berdasarkan keperluan semasa belia di negara ini.

Katanya, ini termasuk Program Malaysia Future Leaders School di bawah Institut Pembangunan dan Kecermerlangan Kepimpinan (i-LEAD) yang bertujuan melahirkan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara dan berkeupayaan berperanan di peringkat nasional dan antarabangsa.   

“Kita bukan mulakan terus perkara (program) baharu yang tidak ada asas tetapi kita perbaiki, tambah baik lagi supaya pelaksanaannya seiring dengan zaman.

“Kita akan beri tumpuan terutama sekali pada pembangunan kepimpinan belia dan program belia tidak berpersatuan,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2023 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang, malam tadi.

Lebih 200 pengunjung hadir pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang Allex Seah Shoo Chin.

Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, tumpuan berkenaan diberikan selaras dengan usaha kementerian dan kerajaan untuk memperkasa golongan belia khususnya dalam bidang sukan serta meningkatkan daya kepimpinan golongan itu.

Dalam pada itu, sejajar dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan juga akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian lain untuk memperluas pelaksanaan program literasi politik dan demokrasi melibatkan golongan belia.

“Ini adalah satu daripada tanggungjawab kerajaan untuk memperkasa peranan belia khususnya dalam bidang politik,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button