Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Pembina mahu 2 kursus baharu didasari teras negara

Import falsafah luar hanya lahirkan mahasiswa celaru, berideologi pelik

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 26 Muharram 1441H, Khamis – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan dua kursus baharu di semua Universiti Awam (UA) bermula sesi 2019/2020.

Presiden Pembina, Azam Asri berkata, menerusi dasar perindustrian moden sekitar tahun 1980-an, jurusan sains sosial seperti Sejarah dan Falsafah selalu dilihat sebagai jurusan kelas kedua kerana memberi fokus kepada jurusan sains tulen.

Melihat situasi negara hari ini, beliau berkata, langkah KPM memperkenalkan dua kursus berkenaan sangat tepat bagi mengangkat kembali bidang sains sosial setaraf dengan sains tulen.

“Saya setuju dengan pendapat Dr Maszlee bahawa falsafah sebenarnya memandu pemikiran graduan kita tidak kira dalam bidang apa pun. Pertembungan identiti dan pemikiran global perlu menolak kita untuk membina kefahaman falsafah kita sendiri dalam kalangan mahasiswa kita.

“Kita juga perlu mengubah mentaliti masyarakat untuk menerima jurusan dan kursus seperti ini sama penting dan sama taraf dengan bidang kritkal dunia moden ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Walaupun menyokong usaha itu, beliau bagaimanapun mencadangkan supaya dua kursus berkenaan atau kursus falsafah lain perlu didasari oleh kefahaman dan teras di negara ini.

“Mengimport falsafah luar tanpa menyesuaikan kepada keadaan setempat di sini hanya akan melahirkan mahasiswa yang celaru dan memeluk ideologi pelik-pelik dari barat seperti fahaman Karl Marx atau John Locke.

“Saya percaya bangsa Melayu dan tanah air ini sudah sedia ada mempunyai falsafah yang well-establish berbanding peradaban lain. Mengarus perdanakan falsafah ini kepada mahasiswa kita adalah usaha yang cemerlang,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengumumkan dua kursus baharu iaitu Kursus Falsafah dan Ise Semasa serta Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban yang diperkenalkan di semua universiti awam bermula sesi 2019/2020.

Beliau berkata, usaha berkenaan adalah sambungan kepada pendidikan sivik yang telah dilancarkan di sekolah oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa bulan lalu.

“Tetapi ia tidak boleh berhenti di situ. Pendidikan yang membangunkan peribadi ini harus berterusan sehingga ke peringkat pengajian tinggi,” kata Maszlee.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close