Dunia

Israel musnah saluran air kampung Palestin di Tebing Barat

Sumber air dicuri untuk bekal ke penempatan haram

TEBING BARAT, 10 Jamadilakhir 1445H, Sabtu – Pasukan pendudukan Israel menutup dan memusnahkan saluran air di kampung Palestin, Al-Minya yang berpusat di tenggara Bethlehem di Tebing Barat yang diduduki.

Kemusnahan itu dilihat sebagai sebahagian daripada tindakan kejam negara aparteid untuk mengawal semua sumber air di wilayah Palestin yang diduduki.

Ketua kampung Al-Minya, Zaid Kawazbeh berkata, pasukan pendudukan membuat sekatan untuk menutup ketiga-tiga pintu masuk utama ke kampung itu.

Bukan sahaja sekatan, tentera Israel turut memusnahkan infrastruktur air yang terdapat di kampung itu.

Zaid berkata, insiden ini adalah sasaran ketiga yang disengajakan oleh pihak rejim ke atas saluran air kampung sejak 7 Oktober lalu.

Israel melanggar undang-undang antarabangsa dengan memusnahkan dan merompak sumber air di wilayah Palestin yang diduduki.

Rejim kemudiannya menggunakan air yang dicuri untuk meningkatkan bekalan ke penempatan haram Israel.

Negara haram itu mendiskriminasi secara terang-terangan rakyat Palestin dengan tidak meningkatkan atau melindungi bekalan air kepada masyarakat melalui penjajahan kejam.

Menurut agensi berita Wafa, penutupan tiga pintu masuk menguatkuasakan kepungan ketat ke atas kampung terbabit, sekali gus menghalang penduduk daripada masuk atau keluar.

Israel terus meningkatkan tindakan kejam terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat sejak tenteranya melancarkan serangan tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza, yang membunuh lebih 20,000 orang awam kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button