Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Rakyat hilang kepercayaan kepada Peguam Negara

Tommy Thomas patut malu, sila letak jawatan segera: Berjasa

BANGI, 25 Muharram 1441H, Rabu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menggesa Tommy Thomas meletak jawatan sebagai Peguam Negara susulan tindakan biadap menghina mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues.

Isnin lalu, Hakim Koroner, Rofiah Mohamad memutuskan secara prima facie bahawa Tommy Thomas menghina mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu.

Dia juga didakwa telah campur tangan salah dalam pelaksanaan keadilan (‘unlawful interference in the cause of justice’).

Peguam Negara itu secara subjudis menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang masih menjadi persoalan cuba dirungkaikan di dalam inkues.

Menganggap Tommy tidak mempunyai kredibiliti dan integriti dalam menjalankan tugas, Presiden Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz yakin tindakan Peguam Negara akan menghilangkan kepercayaan rakyat kepada institusi perundangan negara.

“Beliau patut malu. Menghina mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues adalah kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Peguam Negara.

“Malah, kepercayaan orang ramai kepada sistem perundangan akan terjejas disebabkan kesalahan yang beliau lakukan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

27 Ogos lalu, keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Koroner untuk memulakan prosiding komital (hina mahkamah) terhadap Tommy Thomas berhubung punca kematian anggota bomba itu tahun lalu.

Dalam alasan penghakiman oleh Hakim Koroner, Rofiah Mohamad ke atas permohonan bapa Arwah Muhammad Adib, iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid, untuk memulakan satu prosiding penghinaan mahkamah terhadap Peguam Negara berhubung perlakuan beliau dalam Inkues Kematian Arwah Muhammad Adib, antaranya menyatakan:

“Adalah amat tidak wajar dan menyalahi prinsip perundangan inkues serta subjudis bagi Peguam Negara untuk mengambil kedudukan mengenai punca kematian arwah Adib yang menjadi persoalan yang cuba dirungkaikan di dalam inkues yang sedang berlangsung.

“Atas imbangan kebarangkalian saya memutuskan bahawa pemohon telah menunjukkan secara prima facie bahawa Peguam Negara telah melakukan penghinaan terhadap Mahkamah,” kata Rofiah.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, beliau menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close