Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Seperti ada ‘game’ di belakang kes Adib: UMMAH

Himpunan aman hanya solidariti, bukan demontrasi atau provokasi

KUALA LUMPUR, 24 Muharram 1441H, Selasa – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengharapkan keputusan ke atas inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim pada Jumaat ini, akan berpihak dan memberi keadilan ke atas anggota bomba terbabit.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya berkata, beliau melihat seperti ada satu ‘game’ di belakang kes Muhammad Adib yang menyebabkan suspek akhirnya bebas dan Peguam Negara pula dibawa ke mahkamah.

Menyifatkan perkara itu sebagai satu tragedi kepada negara, Aminuddin berharap keputusan mahkamah nanti akan dapat mengembalikan keadilan sebenar bagi pihak yang teraniaya dalam kes kematian anggota bomba itu.

“Justeru itu, UMMAH akan mengadakan himpunan aman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat ini untuk sama-sama mendengar keputusan inkues berkenaan.

“Cuma, saya nak tegaskan ia bukanlah demontrasi. Kita tidak menyokong mana-mana pihak yang cuba membuat tindakan-tindakan luar batasan. Ini hanyalah solidariti untuk menyatakan sokongan terhadap Adib, dan mengharapkan keputusan itu adalah terbaik untuk keluarga Allahyarham,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Sebagai penganjur, beliau berkata, UMMAH turut mengharapkan pihak yang akan hadir Jumaat ini tidak membuat sebarang tindakan yang melanggar undang-undang.

“Ini hanyalah himpunan aman, himpunan solidariti sahaja. Saya harap tiada pihak yang gunakan himpunan ini sebagai ruang untuk sabotaj atau menyebabkan ketegangan dan kemarahan seperti yang berlaku sebelum ini.

“Saya juga nak maklumkan kepada pihak keselamatan bahawa ini bukanlah satu bentuk demontrasi atau provokasi, tetapi ianya solidariti sahaja. Jadi, tak perlu bimbang,” katanya.

Pada masa sama, Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) turut menggesa masjid di seluruh negara untuk menganjurkan solat hajat pada hari berkenaan.

“Saya tidak pasti berapa ramai yang akan hadir pada himpunan solidariti itu, tetapi datanglah bagi sesiapa yang berkelapangan,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul sekumpulan perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close