Berita UtamaIstimewa

Malang sekali demi kuasa politik, sekolah vernakular kekal jadi manifesto

Kewujudan sekolah vernakular ibarat mendukung biawak hidup

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 9 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Meskipun impak sekolah vernakular ‘buruk’ kepada perpaduan negara, malangnya ia masih kekal menjadi manifesto parti politik tertentu dalam mana-mana pilihan raya.

Walaupun hakikatnya – lebih memecah-belahkan daripada menyatupadukan — sistem sekolah vernakular ini akan tetap disokong oleh sesetengah pihak atau parti demi kelangsungan politik masing-masing.

Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, pengiktirafan sekolah vernakular sebagai janji pilihan raya umum bukan perkara baharu, sebaliknya ia telah bermula sejak tahun 1955 lagi.

Beliau yakin usaha itu akan terus berlaku atas dasar ia bukan sahaja sangat dikehendaki kaum bukan Melayu, khususnya Cina dan India, bahkan faktor penting untuk kemenangan pihak yang bertanding.

Walhal ia tidak baik untuk perpaduan negara yang utuh, walaupun perlu diakui akan terus menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

“Ini kerana ianya telah diputuskan mahkamah sebagai entiti sah dalam dua kes berlainan oleh dua Mahkamah Tinggi yang berbeza.

“Justeru, kewujudan sekolah vernakular bukan sahaja hendaklah diterima walaupun dengan hati yang berat, ianya memang adalah sebahagian daripada kehidupan nasional di negara ini.

“Ini kerana nama rasminya ialah Sekolah Kebangsaan, yakni sekolah negara atau lebih tepat lagi ialah Sekolah Jenis Kebangsaan, iaitu sejenis sekolah negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Kok Seong menyifatkan sekolah vernakular sebagai ‘duri dalam daging’ iaitu sesuatu yang didapati selalu menyakat, selain ianya ‘bagai mendukung biawak hidup’, yakni sokongan berterusan kepada sesuatu yang akhirnya pasti akan menyusahkan kehidupan rakyat dalam konteks nasionaliti Malaysia.

“Inilah destini Malaysia yang terpaksa meneruskan sesuatu yang tidak baik kerana kepimpinan politiknya tidak mahu mengambil risiko tidak disokong dari segi undi, untuk memberhentikankannya.

“Dengan ini, Malaysia terus-terusan akan tidak bersatu padu dalam erti kata sebenar-benarnya kerana dibenar dan digalakkan oleh pengasingan etnik dalam bentuk polarisasi kaum pada usia muda di tadika dan sekolah rendah.

“… yang berterusan di sekolah menengah sehinggalah ke institusi pendidikan tinggi dan tempat bekerja,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan untuk mempertahankan sekolah-sekolah vernakular di negara ini sekiranya parti itu diberikan mandat semula dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak lama lagi.

Beliau menyifatkan, sekolah vernakular adalah hak masyarakat majmuk di negara ini.

Pautan berkaitan;

Sekolah vernakular kekal jika BN bentuk kerajaan: Presiden UMNO

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button